- Iklan -
Berita

Rayuan sabitan rasuah bekas pengerusi Felda didengar 7 Mac

Tarikh pendengaran rayuan Isa Samad itu ditetapkan susulan pengurusan kes yang diadakan di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Felda Isa Samad. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Felda Isa Samad. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Mac depan untuk mendengar rayuan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Samad terhadap sabitan dan hukuman enam tahun penjara serta denda bagi kesalahan rasuah yang berkaitan dengan pembelian sebuah hotel di Sarawak.

Timbalan pendakwa raya Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata sebelum pendengaran rayuan, pengurusan kes ditetapkan pada 21 Februari depan, dan pihak pendakwaan serta pembelaan perlu menfail hujah masing-masing pada 14 Februari.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan berikutan pengurusan kes yang diadakan di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini.

Pada 3 Februari tahun lepas, Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Isa, 72, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan dengan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak, oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Ghazali (kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan 54 tahun, serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan. 

Bagaimanapun Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta di samping menetapkan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap satu hari bulan sehingga rayuan selesai, dan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya pada 4 Februari 2021.