- Iklan -
Berita

Pemimpin Bersatu selar Ismail kerana ‘main sorok-sorok’ berhubung PRU15

Robert Ling berkata perdana menteri harus membuat keputusan dan perlu menunjukkan tingkah laku sebagai seorang pemimpin.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melambaikan tangan ketika tiba di Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melambaikan tangan ketika tiba di Istana Negara untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam. Gambar: Reuters

Pemimpin Bersatu Kedah Robert Ling Kui Ee hari ini mengecam tingkah laku Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, menyifatkannya seperti “bermain sorok-sorok” berhubung pembubaran Parlimen ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong semalam.

Ling, seorang ahli exco negeri, berkata Ismail harus membuat keputusan mengenai isu tersebut.

Namun sebaliknya, beliau berkata Ismail mengganggu semua orang daripada menumpukan “urusan sebenar kerajaan" yang perlu memastikan kestabilan ekonomi dan bersedia menghadapi musim tengkujuh ini selain pembentangan Bajet 2023 hari ini.

"Perdana menteri harus membuat keputusan sama ada bubar Parlimen atau tidak," katanya dalam satu kenyataan.

"Jika dia mahu bubar Parlimen, maka bubarkan. Biarkan semua orang tertanya-tanya bukanlah kerja pentadbiran. Ia satu sikap tidak bertanggungjawab dan tidak peduli, selain boleh jejaskan ekonomi, kestabilan politik dan demokrasi negara kita.

"Ismail adalah perdana menteri. Dia mesti mula berkelakuan seperti seorang pemimpin negara, dan berhenti main sorok-sorok.”

Ismail mendapat tekanan daripada pemimpin Umno yang bersekutu dengan presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi supaya membubarkan Parlimen dan memberi laluan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Semalam, beliau berkata isu pembubaran Parlimen mungkin dibincangkan ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong, sekali gus memanjangkan spekulasi mengenai PRU diadakan tahun ini.

“Tak pasti lagi nak bawa atau tak. Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat, pasal Kabinet sahaja.

"Kita tengok, kalau bincang sampai Maghrib tak sempat nak bincang hal lain,” kata Ismail.

Beliau kemudiannya mengadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selama 45 minit, dan pihak istana mengeluarkan kenyataan mengatakan pertemuan itu adalah bagi perbincangan mingguan untuk membincangkan hal-hal pentadbiran kerajaan.