- Iklan -
Berita

Kerajaan bawa pulang 21 mangsa penipuan kerja warga Malaysia

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata 273 mangsa di Kemboja, Laos, Thailand dan Myanmmar telah diselamatkan sejak April.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Luar Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama
Menteri Luar Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama

Seramai 21 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan dan terperangkap di Kemboja dan Laos berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa dan dibawa pulang ke tanah air semalam. 

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, berkata kesemua mereka selamat tiba dengan tiga penerbangan berasingan iaitu lapan mangsa tiba dari Kemboja petang tadi, tujuh dari Laos malam ini dan enam lagi mangsa dari Kemboja akan tiba tengah malam ini. 

"Jumlah yang sudah diselamatkan ialah 273 orang di Kemboja, Laos, Thailand dan Myanmmar sejak April hingga sekarang, daripada 401 kes yang dilaporkan kepada kita. 

"Daripada 273 orang itu, sebahagian daripadanya masih ditahan di depoh tahanan negara-negara berkenaan setelah diselamatkan daripada sindiket penipuan di sana," katanya dalam sidang media bersama lapan mangsa yang tiba dari Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), hari ini. 

Saifuddin berkata pihak berkuasa Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa di negara-negara berkenaan sedang giat mengesan seramai 128 lagi mangsa penipuan sindiket itu. 

"Kita telah melipatgandakan usaha dengan kerjasama daripada pihak berkuasa negara-negara yang berkaitan untuk mengesan yang bakinya, (manakala) mereka yang telah dapat dikesan dan setelah (selesai) melalui proses perundangan di negara-negara itu akan kita bawa balik dengan secepat mungkin.

"Sebagai negara yang menghormati undang-undang, kita harus menerima dan membenarkan negara terlibat melakukan proses yang diperlukan oleh mereka," katanya. 

Dalam pada itu, Saifuddin menasihatkan mangsa sindiket penipuan yang didera dan sebagainya untuk membuat laporan polis di negara berkenaan bagi memudahkan pihak berkuasa di negara itu melakukan siasatan lanjut. 

"Saya juga nasihatkan supaya kita lebih berhati-hati sekiranya buat apa-apa kenyataan berkaitan isu begini, sebaiknya jika ada maklumat sampaikan kepada polis kerana itu lebih berhasil.

“Ini kerana kita bimbang kalau kenyataan itu dibuat ia boleh ganggu siasatan pihak berkuasa dan kalau tersilap bahasa yang digunakan boleh ganggu hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara berkaitan," katanya.