- Iklan -
Berita

PN sifatkan jemput murid sekolah tonton filem Anwar sebagai ‘indoktrinasi politik’

Saifuddin Abdullah menggesa menteri pendidikan menjawab beberapa persoalan berhubung program itu di Parlimen.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama

Perikatan Nasional (PN) menyifatkan jemputan menonton filem propaganda “Anwar: The Untold Story” bersama menteri pendidikan membabitkan murid Tingkatan 6 sebuah sekolah di Putrajaya dua malam lepas sebagai satu “indoktrinasi politik”.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah berkata, tidak menjadi kesalahan untuk mana-mana menteri menjemput sesiapa ke tayangan filem.

"Namun tentulah kita harus membuat pemilihan filem berkaitan. Filem yang ada sebab mengapa ia harus ditonton dan ini tidak termasuk filem itu," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Kelmarin tular satu jemputan kepada murid-murid Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 5(1) di Putrajaya untuk menonton filem “Anwar: The Untold Story” bersama Fadhlina. 

“Anwar: The Untold Story” merupakan filem Indonesia terbitan kartunis, Zulkiflee Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar mengenai krisis politik antara Anwar dan Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

Filem yang dilaporkan mengutip RM1 juta pada hari pertama tayangan itu diselubungi kontroversi apabila lambakan tiket percuma diberikan kepada mereka yang ingin menonton filem tersebut.

Terdahulu, penerbit filem juga mendakwa panggung wayang mensabotaj filem berkenaan.

Dakwaan itu bagaimanapun disangkal oleh Persatuan Pemamer Filem Malaysia.

Saifuddin yang juga ketua portfolio pendidikan dan pendidikan tinggi PN hari ini mengemukakan soalan sewaktu sesi pertanyaan menteri berhubung program itu kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Bagaimanapun, soalan itu tidak dijawab oleh Fadhlina meskipun sudah diterima Dewan Rakyat.

Saifuddin turut mempersoalkan mengapa hanya murid Tingkatan 6 yang dibawa untuk tontonan berkenaan.

"Adakah kerana jalan cerita sesuai untuk subjek tertentu di Tingkatan 6 atau kerana mereka sudah boleh mengundi?"

Justeru, menurut Saifuddin kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa menggunakan pendidikan sebagai indoktrinasi politik. 

Beliau turut membangkitkan laporan mengenai aktiviti Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) di sebuah sekolah di Baling, Kedah.

"Persoalan sekarang adakah kerajaan menggunakan murid untuk menabur propaganda murahan? Ini bertentangan dengan keharmonian sekolah, yang kita semua dukung sebagai institusi bebas politik," katanya.