- Iklan -
Berita

Selangor negeri tumpuan PN pada PRU15, kata Azmin

Pengerusi PN Selangor itu berkata, mereka akan terus menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memastikan negeri terkaya Malaysia itu dapat ditawan pada PRU15.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Kepimpinan gabungan Perikatan Nasional bergambar bersama pada majlis makan malam penyerahan watikah ketua badan perhubungan kawasan Selangor di Shah Alam malam tadi.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Kepimpinan gabungan Perikatan Nasional bergambar bersama pada majlis makan malam penyerahan watikah ketua badan perhubungan kawasan Selangor di Shah Alam malam tadi.

Selangor akan menjadi negeri tumpuan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Mohamed Azmin Ali.

Pengerusi PN Selangor itu berkata, mereka akan terus menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memastikan negeri terkaya Malaysia itu dapat ditawan pada PRU15.

"Kita yakin rakyat meletakkan harapan besar kepada PN untuk kembali berkuasa bukan saja di peringkat pusat, tetapi inilah negeri tumpuan PN pada PRU15," kata Azmin yang juga bekas menteri besar Selangor ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Penyerahan Watikah Ketua Badan Perhubungan Kawasan PN Selangor di Shah Alam, Selangor malam tadi.

Selangor pada ketika ini diperintah oleh Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah sejak tahun 2008. 

Sebelum itu ia merupakan negeri kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak pilihan raya pertama diadakan di negara ini.

Terdahulu, penyerahan watikah itu menyaksikan Bersatu dan PAS masing-masing diberi tanggungjawab untuk menyelaraskan gerak kerja di sembilan kawasan di Selangor manakala baki empat kawasan diserahkan kepada Gerakan.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menjelaskan penyerahan watikah ini hanya untuk tujuan urusan pentadbiran serta menguruskan parti dalam gabungan itu dan mereka belum memutuskan calon untuk dipertandingkan.

"Mungkin ketua penyelaras itu adalah dari Bersatu, tetapi tak semestinya calon adalah dari Bersatu, sama juga situasi dengan PAS.

"Kita belum putuskan (calon) dan akan dimuktamadkan dalam mesyuarat PN," katanya.

Dalam pada itu Azmin yang juga menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri menekankan bahawa kepelbagaian menjadi aset utama PN ketika mengharungi PRU15 dan ini dilihat sebagai ancaman utama kepada lawan mereka.

Katanya, walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin PN, ia tidak menjadi halangan untuk parti-parti komponen bekerjasama dalam membuat keputusan yang menyeluruh demi kebaikan rakyat.

Katanya, usaha memecah-belahkan muafakat antara komponen parti PN sememangnya sedang berlaku, namun menganggap perkara itu sebagai petanda positif apabila menunjukkan gabungan itu berada di landasan yang betul.

"Lagi dekat dengan tarikh PRU, lagi kuat fitnah.

"Hari-hari kita diserang, ini bermakna kita kuat. Bila dipijak, makna kita relevan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Mengulas mengenai spekulasi pembubaran Parlimen pada Jumaat ini, Azmin turut menyifatkan usaha itu sebagai tindakan yang tidak berhati perut memandangkan rakyat pada masa ini sedang berdepan pelbagai kesukaran.

"Kenapa tergesa-gesa? PN sudah buat kenyataan terbuka supaya rakyat Malaysia tahu kita bantah sebarang cadangan pembubaran.

"Banjir semakin dekat, jika begitu, kita ‘redah’ mereka dalam PRU nanti," katanya sinis terhadap ucapan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang menggesa sayap Pemuda partinya meredah banjir sekiranya PRU15 diadakan pada musim tengkujuh.