- Iklan -
Berita

PM mengadap Agong ketika khabar angin pembubaran Parlimen hangat

Ismail mengadap Agong di Istana Negara pada pukul 4 petang dan pulang kira-kira 45 minit kemudian.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Kenderaan yang membawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan Istana Negara petang tadi. Gambar: Bernama
Kenderaan yang membawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan Istana Negara petang tadi. Gambar: Bernama

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin berlaku selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau akan memberikan tarikh pembubaran Parlimen ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

PRU15 sepatutnya diadakan selepas tamat penggal Parlimen pada pertengahan 2023, namun Ismail mendapat tekanan daripada sekumpulan pemimpin Umno yang menggesa supaya ia diadakan lebih awal bagi mendapatkan mandat yang lebih kuat selain berpunca daripada perbalahan dalaman parti Melayu itu.

Sekiranya beliau membubarkan Parlimen dalam masa terdekat, PRU15 akan diadakan ketika ekonomi negara mulai terkesan dengan kenaikan harga kos selain kelembapan pertumbuhan global.

Selain itu, proses PRU15 yang diadakan bakal berdepan kesukaran ekoran banjir monsun yang biasanya berlaku setiap kali akhir tahun.

Ia juga dijangka akan menjejaskan peratusan keluar mengundi.

Ismail mengadap Agong di Istana Negara pada pukul 4 petang dan pulang kira-kira 45 minit kemudian.

Pejabat Perdana Menteri dan Istana Negara juga tidak memberikan ulasan segera mengenai apa yang dibincangkan dalam pertemuan Ismail dengan Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Sebelum mesyuarat, Ismail berkata beliau akan membincangkan perkara berkaitan jemaah menteri dan tarikh pembubaran Parlimen akan dibincangkan dengan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah jika ada kesempatan masa.

“Tak pasti lagi nak bawa atau tak. Kalau bincang hal Kabinet panjang sangat, pasal Kabinet sahaja.

"Kita tengok, kalau bincang sampai Maghrib tak sempat nak bincang hal lain,” kata Ismail.

Sebelum ini, jurucakap perdana menteri berkata pertemuan antara Ismail dan Sultan Abdullah hari ini adalah pertemuan mingguan yang rutin.

Kerajaan Ismail dijangka membentangkan Bajet 2023 di Parlimen esok, menghentikan spekulasi pembubaran akan diumumkan sebelum pembentangan dilakukan.

Selepas pembubaran Parlimen, PRU15 mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pengumumannya.