- Iklan -
Berita

Shafee mohon maaf beri kenyataan media berkait kes rasuah 1MDB Najib

Bagaimanapun, peguam veteran itu menegaskan kenyataannya adalah tepat dan tidak keterlaluan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Muhammad Shafee Abdullah. Gambar: Bernama
Peguam Muhammad Shafee Abdullah. Gambar: Bernama

Peguam Muhammad Shafee Abdullah hari ini memohon maaf kepada Mahkamah Tinggi berhubung kenyataan media yang dibuatnya baru-baru ini berkaitan kes rasuah bekas perdana menteri Najib Razak membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, peguam veteran itu menegaskan kenyataan media itu adalah tepat dan tidak keterlaluan.

“Yang Arif, saya memohon maaf kepada mahkamah sekiranya terdapat salah tafsir terhadap kenyataan media tersebut. Kenyataan itu tepat dan tidak keterlaluan.

"Kenyataan media itu hanya mengatakan, pihak pendakwaan tidak memberikan kami dokumen dalam kes ini, tetapi kami telah mendapat dokumen itu. Itulah cara kami menyatakan pihak pendakwaan gagal untuk mendedahkan," katanya.

Shafee menjelaskan bahawa beliau menjawab pertanyaan pemberita mengenai wang yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.

“Wartawan bertanya, adakah benar kedua-dua transaksi ini datang dari Arab Saudi,” katanya.

Pada peringkat ini, timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram berkata beliau menyatakan Shafee boleh membangkitkan perkara itu di mahkamah.

"Beliau (Shafee) boleh membangkitkan perkara ini di hadapan Yang Arif. Adakah beliau mengharapkan kami berjumpa media dan mengatakan Shafee salah?

"Saya boleh menerima jika beliau membuat aduan di hadapan Yang Arif.  Mana-mana pengadu tentang cara kami (pendakwaan) menjalankan kes boleh membawanya ke hadapan Yang Arif. Tolong jangan berbincang dengan media, berhubunglah dengan kami," kata Sri Ram yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan.

Selepas mendengar hujah oleh kedua-dua pihak, hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah berkata perkara berhubung kenyataan media itu telah selesai.

Semalam, Sri Ram mengingatkan Shafee supaya tidak menjalankan perbicaraan kes itu di media.

Sri Ram berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan media oleh Muhammad Shafee pada Isnin yang menyatakan bahawa aliran masuk dana ke dalam akaun Najib pada Februari dan Jun 2011 berjumlah kira-kira RM60.6 juta (kira-kira AS$20 juta) daripada kerabat diraja Arab Saudi, Putera Faisal Turki Al Saud.

Pihak pembelaan mendakwa dana itu adalah sebahagian daripada hadiah kepada Najib daripada bekas gabenor Madinah, Saud Abdulaziz Majid Al Saud.

Shafee berkata pihak pendakwaan hanya menyatakan mengenai dua transaksi pindahan tetapi tidak menyatakan lima lagi pindahan ke dalam akaun Najib antara Ogos 2011 dan Ogos 2012, yang didakwa daripada Putera Turki dan Kementerian Kewangan Riyad berjumlah kira-kira AS$180 juta.

Peguam itu juga telah menyatakan surat daripada bekas gabenor yang dialamatkan kepada Najib, yang menyatakan jumlah derma yang dibuat kepada bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan diteruskan dengan mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-39, bekas pengarah bukan eksekutif AmBank Cheah Tek Kuang, 75, yang disoal balas Shafee.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung.