- Iklan -
Berita

Pengurusan bagi rayuan kes rasuah projek solar Rosmah pada 14 November

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu keputusan di Mahkamah Rayuan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama
Isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor. Gambar: Bernama

Tarikh baru pengurusan kes rayuan Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ditetapkan pada 14 November.

Timbalan pendakwa raya Poh Yih Tinn berkata semasa pengurusan kes dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron hari ini, peguam Jagjit Singh memaklumkan bahawa mereka masih belum mendapatkan rekod rayuan.

Poh berkata peguam itu juga memohon supaya rayuan anak guamnya terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan yang menolak permohonan supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu dan membuat keputusan mengenai kes solar tersebut, didengar dahulu.

“Saya memberitahu pendaftar bahawa pihak pendakwaan tidak membantah terhadap rayuan Rosmah supaya hakim menarik diri itu didengar terlebih dahulu,” kata Poh ketika dihubungi.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 November untuk pengurusan kes seterusnya bagi menyemak pemfailan petisyen rayuan.

Bagaimanapun, seorang lagi peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader memberitahu Bernama bahawa mereka masih belum memfailkan petisyen rayuan.

Pada 1 September, Zaini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta ke atas Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, beliau hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana hakim mengarahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Mahkamah juga memerintahkannya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Rosmah dituduh atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin. 

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Rosmah kemudiannya memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya itu pada 2 September.

Beliau turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan kes tersebut.