- Iklan -
Berita

Lantikan pembangun aplikasi MySejahtera tidak ikut prosedur, dedah PAC

Jawatankuasa itu mendapati tiada sebarang dokumen berhubung perolehan, selain NDA yang ditandatangani antara Majlis Keselamatan Negara dan dan syarikat KPISoft.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita mengimbas aplikasi MySejahtera yang dibangunkan KPISoft di hadapan premis perniagaan.
Seorang wanita mengimbas aplikasi MySejahtera yang dibangunkan KPISoft di hadapan premis perniagaan.

Pelantikan KPISoft yang menjadi pembangun aplikasi MySejahtera didapati tidak berlandaskan prosedur perolehan kerajaan, menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera. 

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, jawatankuasa itu mendapati tidak ada minit atau dokumen sokongan selain perjanjian ketakdedahan (NDA) antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KPISoft yang kini dikenali sebagai Entomo. 

"Konsep CSR yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) menyebabkan kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera. Kerajaan adalah keliru dari segi pelantikan KPISoft, konsep CSR dan tempohnya serta pemilikan aplikasi MySejahtera.

"Konsep CSR dilihat telah digunakan sebagai mekanisme untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan yang sepatutnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Aplikasi MySejahtera dibangunkan susulan penularan wabak Covid-19 di Malaysia. 

Antara tujuan utamanya ialah pengesanan kontak, pemantauan status kesihatan pesakit Covid-19, daftar masuk ke sesuatu lokasi dan simpanan sijil serta rekod vaksinasi. 

Sebanyak dua prosiding diadakan pada 14 dan 21 April 2022. 

Lapan saksi yang dipanggil termasuklah Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon.

PAC juga mendapati harga siling sebanyak RM196 juta yang ditetapkan untuk tempoh dua tahun bagi perolehan aplikasi itu adalah tinggi dan bercanggah dengan konsep CSR. 

Laporan itu mendedahkan percanggahan kenyataan oleh kerajaan berhubung pemilikan aplikasi berkenaan. 

Khairy sebelum ini menegaskan data dalam aplikasi berkenaan merupakan hak milik penuh dan mutlak kerajaan.

Bagaimanapun, Wong berkata, KPISoft (Entomo) didapati membuat perakuan sebagai pemilik harta intelek aplikasi itu. 

"Keputusan jemaah menteri yang merujuk supaya pihak kerajaan mengambil alih pemilikan aplikasi MySejahtera daripada pembangun aplikasi menunjukkan aplikasi tersebut secara prinsipnya masih dimiliki oleh pembangun aplikasi.

"Setakat April 2022, kerajaan didapati masih belum mendaftarkan harta intelek bagi aplikasi MySejahtera di MyIPO yang boleh menyebabkan aplikasi ini dituntut pemilikannya oleh pembangun aplikasi," katanya. 

Beberapa isu turut timbul berhubung penggunaan aplikasi tersebut sebelum ini, antaranya dakwaan kebocoran data pengguna kepada pihak luar. 

PAC turut mengemukakan empat syor antaranya menyemak semula kewajaran pemberian kontrak aplikasi MySejahtera secara rundingan terus. 

Kerajaan turut digesa mengambil alih keseluruhan aplikasi itu menerusi Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia.

"Kerajaan perlu mengambil pendekatan yang lebih prudent dalam segala proses perolehan. Segala tawaran melalui CSR adalah dialu-alukan. Bagaimanapun, terma-terma berkenaan dengan tawaran CSR harus dinyatakan dengan jelas dan tidak boleh dijadikan sebagai jalan alternatif untuk rundingan terus. 

"Kerajaan harus memastikan pemilikan penuh kerajaan dalam aplikasi MySejahtera. 

“Kerajaan perlu menjamin keselamatan data peribadi pengguna dalam aplikasi MySejahtera dan memastikan data berkenaan tidak disalah guna oleh mana-mana pihak," tambahnya.