- Iklan -
Berita

Undang-undang benarkan Najib hadir sidang Dewan Rakyat, kata speaker

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata kehadiran bekas perdana menteri itu ke sidang Parlimen memerlukan kebenaran penjara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Speaker Azhar Harun pada hari pertama sidang Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama
Speaker Azhar Harun pada hari pertama sidang Dewan Rakyat hari ini. Gambar: Bernama

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun hari ini berkata bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan penyelewengan puluhan juta ringgit dibenarkan menghadiri sidang Parlimen.

Bagaimanapun, Azhar berkata ahli Parlimen Pekan itu memerlukan kebenaran Jabatan Penjara untuk menghadirinya.

“Penjara ada penjagaan beliau, maka terpulanglah kepada pihak penjara untuk melepaskan penjagaan tersebut.

“Kalau pihak penjara melepaskan beliau daripada penjagaan penjara, maka pihak penjaralah yang akan menetapkan syarat pelepasan tersebut. Sekali lagi, ia bukan di bawah kuasa saya.” kata Azhar.

Ketika ditanya oleh Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mengenai bila Najib akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen, Azhar berkata beliau terikat dengan undang-undang.

"Hukum sebagaimana adanya, bukan sebagaimana semestinya, dan tidak pula sebagaimana ia sepatutnya"

Azhar kemudiannya membaca Perkara 48(4).

“Jika petisyen untuk pengampunan difailkan dalam tempoh 14 hari dari sabitan dan hukuman, atau selepas pelupusan mana-mana rayuan atau prosiding mahkamah berhubung sabitan dan hukuman, kehilangan kelayakan itu hanya berkuat kuasa apabila petisyen itu dilupuskan."

Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International, di mana beliau didakwa atas tujuh pertuduhan jenayah pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan beliau bersalah pada 28 Julai 2020, menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukumannya pada 8 Disember tahun lalu.

Dalam permohonan semakan terhadap penghakiman Mahkamah Persekutuan itu, Najib memohon kebenaran untuk membuat semakan terhadap keputusan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau turut berkata hakim Mohd Nazlan Ghazali berada dalam konflik kepentingan apabila mendengar kes SRC tersebut, selain turut memohon agar rayuan akhir itu didengar semula di hadapan panel hakim lain, yang dianggotai tidak kurang daripada tujuh orang hakim atau yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Najib yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang turut memohon penangguhan hukumannya sementara menunggu semakan penghakiman tersebut.