- Iklan -
Berita

Bagaimana syarikat penerbangan dicalonkan dalam pertandingan antarabangsa?

Bagaimanapun, organisasi penarafan pengangkutan udara antarabangsa Skytrax berkata syarikat penerbangan yang diumumkan sebagai pemenang tidak semestinya syarikat pilihan semua pihak.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Penumpang mencari tempat duduk dalam pesawat di klia2, Sepang.
Penumpang mencari tempat duduk dalam pesawat di klia2, Sepang.

Setiap tahun, syarikat penerbangan di seluruh dunia akan dicalonkan dan bersaing untuk bergelar sebagai syarikat penerbangan terbaik.

Gelaran syarikat penerbangan terbaik ini akan diumumkan oleh Skytrax, sebuah organisasi penarafan pengangkutan udara antarabangsa selepas mengumpul maklum balas dalam kalangan penumpang menerusi beberapa siri soalan dalam survei dilakukan seluruh dunia.

Menerusi data yang dikumpul itu, Skytrax akan menyenaraikan syarikat penerbangan yang memiliki jumlah undi tertinggi sebelum mengumumkan pemenang mengikut kategori.

Berdasarkan laman sesawang Skytrax, terdapat pelbagai kategori pemenang, namun kategori Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia merupakan kategori paling utama. 

Kategori Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia 2022 baru-baru ini dimenangi oleh Qatar Airways dan disusuli Singapore Airlines manakala Emirates berada di tempat ketiga.

Kategori lain termasuk syarikat penerbangan tambang murah terbaik yang dimenangi AirAsia, kru kabin terbaik (Singapore Airlines), kabin syarikat penerbangan paling bersih (ANA All Nippon Airways) dan terdapat juga kategori yang dibahagikan mengikut kelas kabin, rantau, serta ruang rehat di lapangan terbang.

Selain itu, Skytrax turut menyenaraikan syarikat penerbangan mengikut penarafan daripada satu hingga 100.

Menurut penjelasan Skytrax dalam laman sesawang mereka, semua syarikat penerbangan di dunia boleh dicalonkan dan survei ini bertujuan untuk pelanggan mengundi sendiri syarikat penerbangan yang dianggap terbaik mengikut pandangan mereka.

Laman sesawang itu turut menjelaskan bahawa seramai 13.42 juta penyertaan survei yang layak diterima pada keputusan akhir dengan 88% daripadanya didaftarkan sehingga Mac 2020.

Bagi pemenang yang diumumkan baru-baru ini, survei tersebut dijalankan bermula September 2021 hingga Ogos 2022 yang mana sebanyak 350 syarikat penerbangan terlibat manakala responde terdiri daripada lebih 100 warga negara.

Undian menerusi dalam talian dijalankan menerusi www.worldairlinesurvey.com penyertaan disaring menerusi pemeriksaaan IP atau maklumat pengguna bagi memastikan kemasukan lebih daripada sekali akan dipadamkan.

"Pelanggan mencalonkan syarikat penerbangan pilihan atau yang dianggap terbaik dan dan mengukur kepuasan mereka (skala 1 hingga 5) dari aspek pengalaman perjalanan merangkumi persekitaran di lapangan terbang dan dalam pesawat," demikian menurut laman sesawang Skytrax.

"Penilaian data dilakukan bagi memastikan keadilan apabila menilai syarikat-syarikat penerbangan."  

Namun begitu, Skytrax turut menegaskan dalam laman sesawang tersebut syarikat penerbangan yang diumumkan sebagai pemenang tidak semestinya menjadi pilihan bagi semua pihak.

Selain itu, timbul juga persoalan mengenai kaedah sistem survei ini apabila terdapat kemungkinan responden yang terlibat terdiri dari kalangan pekerja syarikat penerbangan.

Situasi ini pastinya akan memberi kelebihan kepada syarikat penerbangan yang beroperasi dengan kapasiti yang lebih besar kerana mempunyai jumlah pekerja yang lebih ramai.

Bercakap dengan MalaysiaNow, pakar penerbangan, Germal Singh Khera tidak menolak kemungkinan bahawa responden yang mengambil bahagian terdiri daripada kalangan kakitangan syarikat penerbangan.

Bagaimanapun, katanya, saiz persampelan adalah terlalu besar untuk membolehkan syarikat penerbangan memastikan keputusan survei akan memihak kepada mereka.

"Terdapat kemungkinan, responden yang melakukan survei merupakan kakitangan yang tidak bertugas," katanya kepada MalaysiaNow.

"Oleh itu, dia akan dilayan seperti penumpang biasa."

Ditanya mengenai keputusan survei itu yang mana ada di antaranya disifatkan sebagai kontroversi oleh pengguna media sosial, Germal berkata penilaian terhadap syarikat penerbangan bergantung kepada kategori.

Katanya, survei dilakukan itu hanya bertanyakan soalan berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan syarikat penerbangan dan bukannya mengenai isu yang sedang dihadapi syarikat penerbangan terbabit.

"Contohnya survei ini akan meminta pandangan penumpang dari segi keselesaan, harga yang ditawarkan dan juga layanan kru.

"Melihat kepada kategori yang terdapat dalam survei, kita boleh lihat bahawa kategori perkhidmatan udara dan darat pun dibezakan," katanya. 

“Maklum balas yang diterima akan disusun mengikut kategori sebelum perbandingan antara syarikat penerbangan dibuat."

Sementara itu, Ketua Pemasaran Skytrax Peter Miller, berkata pihaknya menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI) dan IP yang kompleks untuk  elakkan sebarang salah guna undi pelanggan termasuk pekerja syarikat penerbangan.

“Sistem itu dibangunkan lebih 20 tahun,” katanya dalam maklum balas emel kepada MalaysiaNow.