- Iklan -
Berita

‘Kenapa tak sebut AirAsia?’, Loke dipersoal selepas tegur Batik Air

Penumpang AirAsia menggesa menteri pengangkutan itu mengambil tindakan yang adil terhadap semua syarikat penerbangan.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pengangkuta Anthony Loke Siew Fook membuat pemeriksaan di klia2 selepas melawat ibu pejabat AirAsia di Sepang pada 28 Disember. Gambar: Facebook
Menteri Pengangkuta Anthony Loke Siew Fook membuat pemeriksaan di klia2 selepas melawat ibu pejabat AirAsia di Sepang pada 28 Disember. Gambar: Facebook

Menteri Pengangkutan Anthony Loke tidak seharusnya "pilih bulu" dalam menegur kesalahan yang dilakukan syarikat penerbangan, sebaliknya perlu mengambil tindakan sama rata, kata pakar penerbangan Germal Singh Khera.

Beliau yang juga bekas pengarah Pembangunan Penerbangan Mavcom, berkata tidak adil untuk Loke hanya menegur Batik Air berhubung isu penangguhan penerbangan yang tular baru-baru ini memandangkan AirAsia juga mempunyai masalah sama, malah kekerapannya jauh lebih besar.

Sebelum ini, tular beberapa klip video memaparkan penumpang Batik Air memarahi kakitangan syarikat penerbangan itu apabila penerbangan mereka dilaporkan tertangguh sehingga lapan jam.

Pengalaman sekumpulan penumpang yang terkandas itu turut diceritakan di Twitter yang mana Loke kemudian dilihat membalas ciapan tersebut dan menyatakan akan meneliti perkara itu dan meminta supaya pihak pengurusan Batik Air meminta maaf kepada penumpang.

Menurut Germal, kebiasaannya menteri pengangkutan tidak akan terlibat secara langsung berhubung hal ehwal operasi penerbangan kerana ia sepatutnya dikendalikan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Penerbangan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).

"Sebagai menteri, beliau perlu adil kepada semua pihak. Kenapa hanya sebut Batik Air?

"Kenapa tidak sebut langsung mengenai isu penangguhan dan pembatalan oleh AirAsia? Ini berat sebelah!" katanya kepada MalaysiaNow.

Data Mavcom yang diterbitkan pada September lalu menunjukkan aduan tertinggi yang dikumpul daripada penumpang adalah terhadap AirAsia dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Aduan yang diterima terhadap syarikat penerbangan tambang murah itu meliputi 42.1% atau 527 aduan diikuti Malaysia Airlines iaitu 40.7% manakala Batik Air menerima 7.9% bersamaan 99 aduan.

Sementara itu, kehadiran Loke di ibu pejabat AirAsia, RedQ di Sepang turut menarik perhatian ramai apabila beliau ke sana untuk melancarkan "tambang tetap penerbangan malam" sebelum meninjau keadaan di Lapangan Terbang Antarabangsa 2 (klia2).

Beberapa penumpang AirAsia termasuk dari luar negara turut meluahkan kekecewaan apabila Loke tidak memanfaatkan peluang itu untuk menyelesaikan isu penangguhan dan pembatalan penerbangan serta bayaran balik yang berlaku sejak 2020.

Penumpang warga tempatan, EeMay meluahkan rasa terkejut apabila Loke dilihat begitu tegas dengan perbuatan Batik Air (dulu dikenali sebagai Malindo Air) namun tidak menegur kesalahan sama yang dilakukan AirAsia.

"Apa? AirAsia jauh lebih teruk berbanding Malindo," katanya ketika ditanya mengenai reaksi Loke terhadap Batik Air.

Bagaimanapun, Low menganggap mungkin Loke tidak begitu tahu mengenai isu berkaitan AirAsia memandangkan beliau baru saja dilantik sebagai menteri pengangkutan.

"Ya, dia patut berkata sesuatu mengenai AirAsia kerana tindakan mereka adalah jauh lebih teruk berbanding sekadar penangguhan penerbangan," tambahnya.

Sementara itu, Harmeet Singh dari Sydney menganggap dirinya sebagai seorang pengguna seperti dikhianati oleh pihak berkuasa Malaysia dan AirAsia.

"Kerajaan Malaysia gagal bertindak dan secara jelas bekerjasama dengan AirAsia.

"Ini semua berlaku menggunakan 'alasan' proses penstrukturan hutang yang dilaksanakan syarikat penerbangan itu," kata Harmeet yang hanya menerima bayaran balik dalam bentuk baucer perjalanan.

Bagi Tommy Nagao dari Jepun, beliau sudah "putus asa" untuk mendapatkan semula duitnya dan merasakan tiada siapa mampu mempertahankan haknya termasuk Loke.

"Tiada apa lagi yang saya boleh katakan. Tony Fernandes akan terus terlepas daripada isu ini dan nampaknya tiada siapa yang mampu menghalang beliau.

"Termasuk menteri pengangkutan," katanya.

Seorang lagi penumpang dari Malaysia, Low Pui San turut menyeru supaya Loke mengambil perhatian berhubung isu ini memandangkan ia melibatkan duit penumpang yang diusahakan hasil daripada titik peluh masing-masing.

"Hanya Tuhan yang tahu berapa jumlah kumulatif melibatkan bayaran oleh penumpang.

"Saya berharap beliau akan teliti perkara ini. Mungkin apabila menerima aduan secukupnya, mungkin beliau akan teliti," kata Pui San yang tidak berpuas hati apabila menerima bayaran balik tiket penerbangan yang dibeli pada 2019 dalam bentuk kredit.