- Iklan -
Berita

Dihujani aduan, Mavcom cadang bayaran balik secara setara, lindungi hak penumpang

Pindaan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia dijangka akan dilaksanakan pada suku pertama 2023.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Penumpang mencari tempat duduk dalam pesawat di klia2, Sepang.
Penumpang mencari tempat duduk dalam pesawat di klia2, Sepang.

Dalam usaha menambah baik perlindungan hak penumpang udara, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerbitkan Kertas Rundingan mengenai cadangan pindaan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC).

Mavcom, dalam satu kenyataan berkata pindaan yang bakal dilakukan termasuk perlindungan berkaitan bayaran balik, hak penumpang, pas perjalanan serta pemadaman penerbangan yang telah dibatalkan daripada sistem tempahan syarikat penerbangan.

Katanya, penambahbaikan MACPC ini dijangka akan dilaksanakan pada suku pertama 2023.

Suruhanjaya itu berkata, antara cadangan penambahbaikan pada MACPC ialah bayaran balik dalam kaedah pembayaran asal bagi penerbangan yang tergendala.

"Peruntukan baru ini akan memastikan mod pembayaran balik yang konsisten kepada pengguna penerbangan," katanya.

"Selain itu, suruhanjaya turut mencadangkan syarikat penerbangan menawarkan pilihan bayaran balik dalam cara pembayaran asal sekiranya penerbangan ditangguhkan."

Sebelum ini,  MalaysiaNow menerbitkan beberapa siri laporan daripada penumpang AirAsia dan AirAsia X yang terus meluahkan rasa tidak puas hati berhubung isu bayaran balik dan pembatalan atau penangguhan penerbangan sehingga ke hari ini.

Bagi penumpang AirAsia X, mereka hanya diberi bayaran balik dalam bentuk baucer penerbangan memandangkan syarikat penerbangan itu selesai menjalani proses penstrukturan hutang selepas menerima kebenaran daripada mahkamah.

Situasi ini menyebabkan ramai penumpang berasa tidak berpuas hati apabila terdapat limitasi untuk menggunakan baucer tersebut dan mereka terus mendesak supaya syarikat penerbangan tambang murah itu pulangkan duit tiket penerbangan yang telah dibeli.

Selain itu, isu pembatalan dan penangguhan penerbangan masih berterusan meskipun Malaysia telah memasuki fasa peralihan ke endemik, malah situasi ini juga didapati menjadi trend di peringkat global.

Mengulas lanjut, Mavcom berkata, kertas rundingan itu turut menampilkan cadangan melindungi pengguna yang sudah membuat pembayaran terlebih dahulu bagi tiket penerbangan atau pas perjalanan.

Katanya, ini akan terpakai apabila syarikat penerbangan tidak dapat melaksanakan perkhidmatan seperti yang dijanjikan sekiranya berlaku krisis kewangan seperti penstrukturan semula hutang, pembubaran, atau isu pelesenan.

"Apabila syarikat penerbangan menjangkakan gangguan kepada operasinya, cadangan pindaan baru suruhanjaya ini menghendaki syarikat penerbangan memaklumkan dan menyerahkan pelan yang memperincikan penyelesaian pembayaran balik kepada pengguna.

"Pelan yang dikemukakan membolehkan Mavcom mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan hak pengguna sentiasa dilindungi," tambahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom Saripuddin Kasim berkata, pihak berkepentingan dan pengguna akan memberikan maklum balas diharapkan dapat memberi maklum balas kepada suruhanjaya itu.

Semua maklum balas dan pandangan perlu diberi secara bertulis dan dihantar sebelum jam 5 petang, 7 November 2022.

Maklum balas itu boleh dihantar menerusi laman sesawang Mavcom atau secara pos.

"Sesi penglibatan pihak berkepentingan Mavcom mengenai cadangan penambahbaikan MACPC sudah bermula.

"Amat penting bagi suruhanjaya mengambil langkah penambahbaikan MACPC bersama dengan pihak berkepentingan untuk memastikan mereka sedar dengan jangkaan Mavcom," katanya dalam kenyataan itu.