- Iklan -
Berita

Kerajaan akan lawan tindakan undang-undang waris sultan Sulu

Tindakan undang-undang akan diambil di Belanda bagi menentang dan mengenepikan sebarang percubaan rampasan aset oleh waris kesultanan itu.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Kerajaan akan mengambil tindakan undang di Belanda bagi menghalang rampasan aset negara di luar negara. Gambar: Bernama
Kerajaan akan mengambil tindakan undang di Belanda bagi menghalang rampasan aset negara di luar negara. Gambar: Bernama

Malaysia akan mengambil tindakan undang-undang di Belanda bagi menentang dan mengenepikan sebarang percubaan kumpulan Sulu yang mahu menguatkuasakan anugerah timbang tara bernilai AS$15 bilion terhadap kerajaan Malaysia.

"Malaysia akan mengambil semua langkah bagi mempertahankan kedaulatannya dan asetnya di luar negara di mana sahaja aset negara berada," kata menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu kenyataan.

Semalam, waris kesultanan itu memohon kebenaran mahkamah untuk merampas aset Malaysia di Belanda.

Beberapa syarikat utama Malaysia beroperasi di Belanda, termasuk firma minyak Petronas yang dimiliki oleh kerajaan.

"Aset Petronas bukan aset milik kerajaan Malaysia dan untuk mendapatkan penguatkuasaan terhadap aset tersebut adalah penyalahgunaan proses mana-mana mahkamah," kata Wan Junaidi.

Beliau berkata percubaan terkini kumpulan Sulu untuk merampas aset didakwa milik Malaysia di Belanda itu adalah tindakan yang bertentangan dan melanggar peraturan timbang tara dan norma di bawah Konvensyen New York dan The United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL).

"Pendirian kerajaan Malaysia bahawa perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah di Paris pada Februari 2022 adalah tidak teratur dan tidak mengikut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya perintah yang diperolehi sekiranya dikuatkuasa boleh mengakibatkan ketidakadilan serta implikasi serius kepada kestabilan negara lain, dan perintah yang dikeluarkan oleh penimbang tara adalah tidak sah di samping tidak mengikut norma atas beberapa sebab-sebab tertentu.

Sebagai contoh, katanya tindakan mengalihkan proses pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah yang diperoleh daripada Sepanyol ke Perancis walaupun Mahkamah Agung Madrid mengisytiharkan pembatalan pelantikan Penimbang Tara dan prosiding susulan timbang tara.

Bagaimanapun menurutnya kumpulan Sulu tetap meneruskan usaha-usaha menguatkuasakan perintah di negara-negara di mana Malaysia sedang melaksanakan tindakan sewajarnya.

Sebagai tindakan balas, Wan Junaidi berkata Malaysia meneruskan prosiding mahkamah di Perancis dan Sepanyol untuk mengenepikan dan membatalkan perintah berkaitan, dan yakin prosiding mahkamah itu akan menyebelahi Malaysia.

Wan Junaidi berkata kerajaan juga telah memulakan strategi global yang proaktif untuk menghalang dan mengenepikan sebarang cubaan merampas atau campur tangan dalam urusan berkaitan aset Malaysia di luar negara oleh kumpulan Sulu.

Beliau berkata kerajaan Malaysia melaksanakan tindakan perundangan di Luxembourg dan akan mengambil tindakan serupa di Belanda untuk mengenepikan serta menghalang sebarang percubaan oleh kumpulan Sulu bagi menguatkuasakan dan memperoleh faedah-faedah daripada perintah yang dikeluarkan mahkamah.

"Malaysia tidak akan sama sekali bertolak-ansur atau tunduk kepada mana-mana pihak yang memanipulasi dan menyalah guna sistem sedia ada demi kepentingan peribadi," katanya.

"Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan dan asetnya di luar negara” tambahnya.

Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai lepas membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bagi tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris dan successors-in-interest kepada Sultan Jamalul Kiram II.

Pada 11 Julai lepas, dua anak syarikat Petronas di Luxembourg telah dimaklumkan mengenai penguatkuasaan Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.