- Iklan -
Berita

PM jamin lindung aset negara yang dituntut kumpulan Sulu

Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan menggunakan saluran perundangan untuk melindungi aset negara yang cuba dituntut waris sultan Sulu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob. Gambar: Bernama

Susulan isu tuntutan kumpulan Sulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan bahawa kerajaan akan melindungi aset negara dengan menggunakan saluran perundangan sedia ada.

"Kita lindungi (aset) dari segi perundangan. Mereka (kumpulan Sulu) bawa kes ke mahkamah jadi kita akan melindungi semua (aset) secara perundangan.

"Saya beri jaminan tidak akan berkompromi dan berganjak walau seinci pun dalam mempertahankan hak dan kedaulatan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Keselamatan Negara 2022 dan sambutan Bulan Keselamatan Negara 2022 hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kumpulan Sulu yang mengganggu-gugat kepentingan aset-aset Malaysia di luar negara khususnya aset di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pada 12 Julai dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh kumpulan Sulu, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh kumpulan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Ismail berkata beliau difahamkan Petronas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan memberi penjelasan di Parlimen dalam masa terdekat mengenai rampasan aset Petronas di Azerbaijan itu.

Beliau berkata jemaah menteri pada 14 Julai lepas bersetuju menubuhkan pasukan khas untuk meneliti, memantau serta merangka tindakan berlunaskan undang-undang sewajarnya bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu terhadap kerajaan Malaysia.

"Pasukan khas telah ditubuhkan untuk melihat masalah ini secara menyeluruh bukan setakat aset Petronas tetapi aset-aset negara yang lain di luar negara. Ada banyak lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai aset di luar negara dan ini akan dilihat secara keseluruhan," katanya.

Ditanya keperluan kerajaan menggerakkan sistem keselamatan untuk mempertahankan aset di luar negara, Ismail berkata: "Bukan senang bawa sekuriti ke negara lain kecuali Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)."

Pada Mac lepas, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa Malaysia yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, mesti membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion.

Namun Wan Junaidi ketika itu dilaporkan berkata keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris sultan Sulu adalah tidak sah, kerana tidak berlandaskan undang-undang.

Katanya keputusan yang ditetapkan penimbang tara Dr Gondoza Stampa itu sudah dibatalkan dan tidak lagi sah dari segi undang-undang.

Pada 12 Julai lepas, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Dalam kenyataan Wan Junaidi pada 13 Julai lepas, beliau berkata kesan daripada perintah penggantungan itu, Final Award yang diputuskan Dr Stampa tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara, sehingga keputusan muktamad oleh Mahkamah Paris dengan permohonan pembatalan Final Award yang dibuat kerajaan Malaysia.