- Iklan -
Berita

Pendakwaan selesai kemuka kes pengubahan wang haram Syed Saddiq

Mahkamah Tinggi turut menetapkan 6 dan 7 Oktober ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman tiba Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman tiba Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Gambar: Bernama

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini selesai mengemukakan kes selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.

Timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya menutup kes selepas tiga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Mohd Syahmeizy Sulong, Nurul Hidayah Kamarudin dan Asbi Munip yang dipanggil semula untuk disoal balas pasukan pembelaan selesai memberi keterangan.

“Pendakwaan menawarkan 13 saksi kepada pihak pembelaan,” kata Wan Shaharuddin yang mengetuai pasukan pendakwaan.

Antara 13 saksi itu ialah pegawai forensik SPRM Moses Lawrence dan Wan Zulkifli Wan Jusoh, rakan-rakan Syed Saddiq iaitu Mohamed Amshar Aziz, Nurali Nadzwan dan Muhammad Suhaimi Yahya.

Pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid kemudian memerintahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada Jumaat atau selewat-lewatnya Isnin depan.

Mahkamah Tinggi itu turut menetapkan 6 dan 7 Oktober ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan, sebelum memutuskan sama ada Syed Saddiq dibebaskan daripada pertuduhan itu atau diperintahkan untuk membela diri.

Pada perbicaraan kes itu yang bermula 21 Jun lalu, pihak pendakwaan telah memanggil 30 saksi antaranya ibu dan bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Rafiq Hakim Razali.

Pada prosiding hari ini, Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur antara 8 dan 21 April 2018.

Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.