- Iklan -
Berita

Zizie mohon prosiding semakan keputusan kes rasuah bersama Bung Moktar

Pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid menetapkan 17 Okotobe bagi pendengaran permohonan tersebut.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri Zizie Izette Abdul Samad hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini berhubung perbicaraan bagi tiga pertuduhan melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri Zizie Izette Abdul Samad hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini berhubung perbicaraan bagi tiga pertuduhan melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad. Gambar: Bernama

Zizie Izette Abdul Samad memohon supaya notis usul difailkannya bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen, yang memerintahkan pelakon itu membela diri atas pertuduhan rasuah RM2.8 juta, didengar bersama permohonan suaminya Bung Moktar Radin di hadapan hakim sama di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam K Kumaraendran yang mewakili Zizie berkata pihaknya memohon agar, permohonan Zizie dipindahkan di hadapan pesuruhjaya kehakiman (JC) Azhar Abdul Hamid ketika sebutan kes itu hari ini.

JC Azhar kemudian menetapkan 17 Oktober ini untuk mendengar permohonan berkenaan.

Sepatutnya, kes Zizie didengar di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah manakala kes Bung Moktar di hadapan JC Azhar.

Pada 23 September lepas, hakim Sequerah membenarkan permohonan Bung Moktar, 64, dan Zizie, 44, untuk menangguhkan perbicaraan mereka di Mahkamah Sesyen, selepas pasangan itu memfailkan notis usul untuk menyemak semula dan mengenepikan keputusan yang dibuat hakim Mahkamah Sesyen pada 2 September lepas.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya selaku pemohon, memfailkan permohonan semakan secara berasingan pada 19 Sept, antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil dan memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen, yang mendengar dan memutuskan mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah dan bersubahat.

Dalam permohonan itu, kedua-duanya memohon perintah Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan yang disampaikan Mahkamah Sesyen.

Kedua-dua pemohon berkata hakim yang mendengar perbicaraan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta, apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan, yang merupakan saksi utama dalam kes itu.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, hakim Rozina Ayob menetapkan 17 Oktober ini untuk sebutan bagi pihak-pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai status perkembangan permohonan pasangan suami isteri itu.

“Tarikh bicara (bela diri) yang dijadualkan pada 14 Oktober ini dilapangkan, manakala tarikh-tarikh perbicaraan pada 28 Oktober, 21 dan 31 November, 1 dan 7 Disember, 3 Januari dan 9 hingga 13 Januari 2023 dikekalkan,” kata hakim itu selepas membenarkan permohonan timbalan pendakwa raya Faridz Gohim Abdullah, supaya tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan sementara permohonan Bung Moktar dan Zizie didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 2 September lalu, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka. 

Pasangan itu sepatutnya membela diri bagi menjawab tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta, melibatkan pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad bermula 23 September lepas.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu juga, didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.