- Iklan -
Berita

Musuh utama kita adalah BN, kata Muhyiddin

Presiden Bersatu itu memberikan isyarat jelas gabungan itu bersedia berdepan dengan BN yang dipimpin Umno.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bercakap pada Sambutan Ulang Tahun ke-6 Bersatu di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bercakap pada Sambutan Ulang Tahun ke-6 Bersatu di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Perikatan Nasional (PN) memberikan indikasi jelas tentang kesediaan untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN), satu isyarat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan ulangan pertembungan pelbagai penjuru antara gabungan-gabungan besar.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata tiada gunanya membuat spekulasi tentang parti lain dan bagaimana mereka bertanding dalam PRU15.

"Saya tak nak bincang soal Pakatan Harapan (PH), itu hal dialah. Umno nak tanding semua kerusi tandinglah," katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-6 Bersatu di Putrajaya, hari ini.

"Kita dalam PN sudah ada kesepakatan, antara perkara disepakati ialah saya nak sebut di sini, bahawa musuh utama kita tidak lain adalah BN."

Kenyataan Muhyiddin itu dikeluarkan ketika pelbagai spekulasi berhubung rundingan antara pelbagai parti bagi mengelakkan pertembungan pada PRU15.

Ini juga adalah kenyataan tegas kedua Muhyiddin dalam tempoh seminggu yang ditujukan kepada Umno dan BN selepas Isnin lalu beliau mempersoalkan keupayaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam menangani krisis ekonomi negara.

Muhyiddin berkata PN bersedia membentuk kerajaan, sambil menambah sudah tiba masanya untuk parti itu menggerakkan jentera bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Muhyiddin turut berkata PN tidak perlu bimbang ketika berdepan BN.

"Ini mengenai menyelamatkan negara. Kita perlu bekerja keras," katanya sambil menambah kelangsungan hidup gabungan itu bergantung kepada prestasinya pada pilihan raya.