- Iklan -
Berita

Azeez lepas tanpa bebas 9 pertuduhan rasuah, gubah wang haram

Pendakwaan memohon ahli Parlimen Baling itu dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah atas alasan representasi yang dikemukakan tertuduh memerlukan siasatan lanjut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim. Gambar: Bernama

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) Abdul Azeez Rahim dari tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas timbalan pendakwa raya Aslinda Ahad memohon agar ahli Parlimen Baling itu dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah atas alasan representasi yang dikemukakan tertuduh telah dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan dan memerlukan siasatan lanjut.

"Mahkamah berpendapat setiap kes perlu dibezakan berdasarkan fakta dan isu utama adalah kuasa budi bicara di bawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah sama ada perintah DNAA atau DNA patut diberikan terhadap tertuduh. Dalam menjalankan kuasa itu mahkamah perlu mengimbangkan kepentingan awam dan hak tertuduh sendiri sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembangan Persekutuan.

"Mahkamah membuat perintah DNAA di bawah Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah selepas berpuas hati alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan kukuh dan memuaskan. Oleh itu mahkamah memerintahkan supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan itu," katanya semasa sebutan kes itu.

Azeez, 55, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM972,414.60 berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah. Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di lima bank di ibu negara antara 6 Sept 2010 hingga 10 April 2018.