- Iklan -
Berita

Putrajaya kenal pasti 8 daerah Selangor dijangka banjir

Nadma berkata daerah 'hotspot' banjir itu ditentukan berdasarkan kekerapan banjir di kawasan berkenaan sejak 2019 hingga 2022.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana banjir di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada Disember tahun lalu. Nadma mengenal pasti lapan kawasan di Selangor yang dijangka mengalami banjir.
Suasana banjir di kawasan Taman Sri Muda, Shah Alam pada Disember tahun lalu. Nadma mengenal pasti lapan kawasan di Selangor yang dijangka mengalami banjir.

Sebanyak lapan daripada sembilan daerah di Selangor dikenal pasti sebagai “hotspot” banjir, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Perdana Menteri. 

Menurut agensi itu, Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan lapan daerah terlibat adalah Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor manakala daerah yang tidak disenarai sebagai “hotspot” ialah Hulu Selangor.

Berdasarkan perkongsian di laman Facebooknya malam tadi, Nadma memaklumkan “hotspot” berkenaan ditentukan berdasarkan kekerapan banjir lebih tiga kali dari 2019 hingga 2022.

Pada masa sama, kesemua kesembilan daerah di Selangor itu diletakkan sebagai berisiko banjir dan penentuannya adalah berdasarkan kawasan tersebut pernah dilanda banjir.

Orang ramai yang ingin mendapatkan senarai terperinci kawasan boleh merujuk Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri dan Instagram, Majlis Keselamatan Negara.