- Iklan -
Berita

Mahkamah terima sebahagian besar pernyataan saksi kes rasuah Zahid

Bagaimanapun hakim membenarkan bantahan pihak pendakwaan pada tiga perenggan dalam pernyataan Fadzlette Othman Merican Idris Merican.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menerima sebahagian besar pernyataan saksi bekas setiausaha akhbar Ahmad Zahid Hamidi dalam perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri itu melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Hakim Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun berkata mahkamah membenarkan bantahan pihak pendakwaan pada tiga perenggan iaitu; baris terakhir dalam perenggan 17 dan 22, dan keseluruhan perenggan 18 supaya dikeluarkan daripada pernyataan saksi Mejar Jeneral Fadzlette Othman Merican Idris Merican, yang merupakan saksi pembelaan kedua.

“Saya dapati selebihnya, (perenggan) 16 hingga 30 (pernyataan saksi) berkaitan dengan fakta secara langsung dalam isu yang menjadi teras kes pembelaan dan oleh itu bukan perkara kolateral yang tertakluk di bawah Seksyen 153 Akta Keterangan 1950.

“Berhubung perenggan 16 dan 17, saya bersetuju dengan pembelaan bahawa perkara yang terkandung adalah pengenalan naratif tentang bagaimana saksi pembelaan (Fadzlette) mengenali saksi ke-90 pendakwaan, bekas setiausaha eksekutif Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly,” kata beliau.

Pada 19 September, pihak pendakwaan membantah sebahagian pernyataan saksi Fadzlette atas alasan ia tidak relevan dan tidak boleh diterima.