- Iklan -
Berita

Kementerian sasar 5,000 produk usahawan luar bandar dipasarkan di platform e-dagang

Sasaran pemasaran itu dijangka dapat dicapai pada akhir 2025.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Ramlan Harun (dua, kanan) diberi penerangan ketika melawat pameran pada program On-Boarding Desamall@KPLB dan Pendigitalan Usahawan Luar Bandar  2022 di Sabah International Convention Center hari ini. Gambar: Bernama
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Ramlan Harun (dua, kanan) diberi penerangan ketika melawat pameran pada program On-Boarding Desamall@KPLB dan Pendigitalan Usahawan Luar Bandar 2022 di Sabah International Convention Center hari ini. Gambar: Bernama

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan untuk memasarkan sebanyak 5,000 produk usahawan luar bandar melalui platform e-dagang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ketua Setiausaha KPLB Ramlan Harun berkata sasaran itu juga melibatkan 5,000 usahawan luar bandar dan dijangka dapat dicapai menjelang akhir 2025. 

"KPLB turut menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta di dalam RMK12 bagi mempergiat program e-dagang dan pendigitalan kepada usahawan luar bandar di bawah bimbingan kementerian.

"Antara inisiatif yang telah diperkenalkan ialah Desamall@KPLB yang membantu usahawan luar bandar memasarkan produk secara dalam talian melalui platform e-dagang dan aplikasi digital," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Program Pendigitalan Usahawan (PPU) Luar Bandar siri ketiga di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu hari ini.

Siri pertama PPU telah diadakan di KPLB Putrajaya pada Jun lepas dan siri kedua di Pulau Pinang pada Julai, sebelum siri terakhir yang diadakan di Sabah.

Ramlan berkata melalui tiga siri PPU pada tahun ini, seramai 700 usahawan luar bandar di seluruh negara telah menyertai PPU.

Menurutnya KPLB amat menggalakkan penglibatan lebih ramai usahawan luar bandar dalam pendigitalan kerana ia menjadi trend perniagaan pada masa kini bagi mempersiapkan mereka kepada Revolusi Industri 4.0.

"KPLB akan melipatgandakan usaha supaya semua sasaran akan dapat dicapai menjelang akhir RMK12," katanya.