- Iklan -
Berita

Pendakwaan bantah bahagian 'tidak relevan' dalam pernyataan bekas pegawai Zahid

Pihak pendakwaan berkata sebahagian pernyataan Fadzlette Othman akan menjejaskan karakter bekas setiausaha eksekutif Zahid, Mejar Mazlina Mazlan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Pendakwaan dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Yayasan Akalbudi (YAB) hari ini membantah sebahagian pernyataan saksi bekas setiausaha akhbarnya, Mejar Jeneral Fadzlette Othman Merican Idris Merican.

Timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran berkata sebahagian daripada pernyataan Fadzlette, yang juga saksi pembelaan kedua akan menjejaskan karakter bekas setiausaha eksekutif Zahid, Mejar Mazlina Mazlan@Ramly dan beberapa bahagian pernyataannya adalah tidak relevan dan tidak boleh diterima.

“Seksyen 153 Akta Keterangan 1950 perlu diguna pakai bagi memastikan bukti berhubung kredibiliti, yang telah dibangkitkan sebelum ini, tidak boleh dibangkitkan semula kerana kredibiliti Mejar Mazlina telah pun dicabar semasa pemeriksaan balas pihak pembelaan. (Jika tidak) isu kolateral tidak akan berakhir," katanya.

Hari ini dijadualkan giliran Fadzlette memberi keterangan pada perbicaraan Zahid. Fadzlette ialah setiausaha akhbar  Zahid semasa menjadi timbalan perdana menteri dan kini beliau adalah pengarah media untuk presiden Umno.

Raja Rozela berkata hakim Collin Lawrence Sequerah mempunyai kuasa untuk mengawal berapa banyak bukti yang diperkenalkan melalui kenyataan saksi, selagi kenyataan itu relevan dengan isu utama dalam perbicaraan.

“... saksi ini ada di sini hari ini untuk membacakan (pernyataan)… ia hanyalah kolateral, isu sekunder, fakta sekunder yang tidak ada kaitan langsung dengan fakta yang menjadi isu.

“Oleh itu Yang Arif, pernyataan di Perenggan 16 hingga 30, sama ada ia terpakai atau merujuk kepada Mejar Mazlina, mesti diputuskan sebagai tidak boleh diterima atas alasan ia adalah bukti kolateral,” hujah beliau.

Ketua pasukan pendakwaan itu membangkitkan bantahan tersebut kerana didapati pernyataan saksi Fadzlette mengandungi serangan terhadap karakter Mazlina, sebagai saksi utama pendakwaan.

Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik memohon masa untuk menjawab bantahan pihak pendakwaan.

“Pernyataan saksi Fadzlette diberikan kepada pihak pendakwaan dalam tempoh 14 hari sebelum beliau datang untuk memberi keterangan. Tiada bantahan awal daripada mereka,” katanya.

Raja Rozela kemudian berkata pihak pendakwaan tidak perlu memberi notis tentang bantahan mereka kerana ini adalah peraturan pembuktian asas.

Hakim menangguhkan prosiding ke esok untuk pembelaan membuat penghujahan.

"Kita beri masa kepada pembelaan untuk menyelidik, jadi saya akan mendengar hujahan jawapannya pagi esok," kata hakim itu.

Pada 30 Ogos, Zahid akhirnya selesai memberi keterangan untuk membela diri selepas 17 hari berada di tempat saksi.

Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.