- Iklan -
Berita

Mengubah naratif muzium Malaysia bagi menghargai sejarah lampau

Ahli sejarah berkata naratif baru diperlukan untuk membantu mendidik rakyat tentang negara mereka.

Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Pengunjung melihat pameran rangka di Muzium Negara, Jalan Damansara, Kuala Lumpur.
Pengunjung melihat pameran rangka di Muzium Negara, Jalan Damansara, Kuala Lumpur.

Jam belum menunjukkan pukul 10 pagi, pengunjung sudah memenuhi ruangan parkir kereta Muzium Negara di Jalan Damansara, Kuala Lumpur. 

Kelihatan pula satu barisan panjang pangunjung mula beratur untuk membeli tiket dengan riuh rendah suara kanak-kanak yang ditemani ibu bapa.

Ketika memasuki ruang galeri utama, kedengaran suara para pelawat yang juga warga tempatan sibuk membuat ulasan tentang pameran kepada ahli keluarga masing-masing. 

Ada yang menceritakan kisah bagaimana manusia hidup di dalam gua kepada anak-anak yang masih kecil.

Tidak lupa, ada juga yang memujuk anak yang sedang menangis kerana takut melihat patung-patung di ruang galeri.

Sudah pasti, tarikan utama pada pameran rangka tulang Manusia Perak yang ditemui di Lembah Lenggong, Hulu Perak dianggarkan berusia lebih 11,000 tahun lalu. 

Bukan sahaja kanak-kanak, golongan dewasa juga dilihat terpukau menyaksikan rangka manusia prasejarah tersebut.

Terdapat empat ruang galeri utama di Muzium Negara iaitu Galeri A: Sejarah Awal, Galeri B: Kerajaan-kerajaan Melayu, Galeri C: Era Kolonial dan Galeri D: Malaysia Kini.

Sementara itu, kedengaran suara seorang lelaki warga emas memberitahu dua orang cucu perempuannya,

“Sama sahaja macam atuk datang lapan tahun lepas. Tiada yang baru,” katanya sambil memimpin salah seorang kanak-kanak itu.

“Ini cerita kapal penjajah, bukan cerita pasal orang kita,” sambungnya dengan nada yang hampa ketika melalui ruang galeri Era Kolonial.

Terdapat kira-kira 128 muzium dan galeri umum di seluruh negara di bawah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan kerajaan negeri dengan bilangan terbanyak di Kuala Lumpur, Melaka dan Kedah. 

Kesemuanya, memberi gambaran tentang pembentukan tamadun awal, peradaban prasejarah, era penjajahan, kemerdekaan dan pasca pembentukan Malaysia 1963, seni, makanan dan kebudayaan negara.

Bagaimanapun, naratif penceritaan sejarah oleh muzium masih menjadi persoalan, ke mana hala tuju muzium dalam membentuk masyarakat menghargai sejarah dan bangsanya?

Muzium Negara yang dibuka secara rasmi pada 31 Ogos, 1963 mempunyai reka bentuk istana Melayu klasik pernah menjadi lokasi tumpuan pelancong tempatan dan asing kerana tarikan daripada pelbagai pameran dan aktiviti dari dalam dan luar negara. 

Pernah suatu ketika, kurator-kurator muzium berupaya memberikan impak besar kerana penganjuran pameran yang unik dan koleksi yang tersendiri.

Pakar sejarah dari Institut Antarabangsa pemikiran dan Tamadun Islam (Istac) Ahmad Murad Merican berkata muzium berperanan untuk  mendidik dan membudayakan sejarah kepada masyarakat sivil.

Katanya, muzium adalah institusi sejarah awam dan tujuannya bukan sahaja memaparkan sejarah seperti buku teks atau buku sejarah. 

Tetapi juga memastikan naratif yang dipaparkan adalah wajar dan bersesuaian dengan memori sesebuah masyarakat.

“Salah satu kekurangan di muzium-muzium di Malaysia ialah deskripsi untuk sesuatu objek itu kurang tepat, bahasa yang tidak betul, atau tidak ada deskripsi langsung.

“Muzium mesti menganggap peranan mereka bukan hanya gedung pameran.

“Tetapi saluran alternatif bagi masyarakat mentelaah sejarah, peristiwa, idea tentang sesebuah masyarakat dan negara,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Ahmad, bukan sahaja menggunakan artifak kaku dan gambar, muzium juga boleh menggunakan pelbagai media termasuk rasa dan aroma untuk menceritakan sesuatu perkara.

Tambahnya lagi, muzium perlu menyediakan bacaan berkaitan seperti buku, majalah dan bahan yang boleh dibeli bersesuaian dengan tema atau sejarah tempatan.

“Muzium mesti juga mewujudkan fungsi kurator sambilan yang diambil dari sesiapa yang berminat berkongsi dan menyebarluaskan nararif sejarah.

“Satu lagi ialah mewujudkan ruang atau jadual mengadakan ceramah-ceramah mengenai subjek-subjek berkaitan. Ini perlu diadakan sepanjang tahun dan dipromosikan. 

“Ia juga perlu menawarkan lawatan pandu oleh kurator supaya penerangan dan penjelasan boleh disalurkan kepada pelawat.”

Pada tahun 2020 dan 2021, Pendapatan sektor muzium menurun dengan jumlah pengunjung merosot sehingga melebihi 70% akibat pandemik Covid-19 dan penutupan sektor sosial di seluruh negara.

Bagaimanapun, data pengunjung pada tahun-tahun sebelumnya juga tidak mencatatkan jumlah kunjungan yang tinggi apabila 22 buah muzium di bawah pengurusan JMM berjaya mengutip hasil pendapatan sebanyak RM3.708 juta, iaitu peningkatan sebanyak 42.5% dari tahun sebelumnya.

Naratif muzium perlu dirombak

Ahmad yang juga pakar penyelidikan sosial dan intelektual juga berpandangan naratif penceritaan sejarah di muzium perlu dirombak kerana terdapat masalah dan kelompongan padanya.

Ini termasuk penceritaan yang tidak berganjak daripada tema zaman prasejarah, era penjajahan di Tanah Melayu dan pembentukan awal Malaysia yang turut boleh didapati dalam buku-buku teks sejarah sekolah.

Pendek kata, katanya tiada yang baru pada ruang galeri dan pameran di muzium negara. 

Atas sebab itu, katanya terdapat keperluan untuk pameran dan naratif sejarah serta cerita tentang Malaysia supaya dirombak semula.

Katanya, semua galeri sedia ada wajar diberi konsep baru yang disifatkannya lebih jujur terhadap budaya dan institusi negara.

“Pendekatan muzium negara hendaklah bersifat dan berkonsepkan tanah air atau Kepulauan Melayu. Untuk memahami negara Malaysia, kita mesti faham kepulauan Melayu. Dan ini mesti diceritakan.

“Muzium juga berperanan menyahjajah naratif negara. Naratif yang ada pada Muzium Negara masih bersifat kolonial dalam semua galeri. 

“Naratif atau cerita orang putih terhadap Malaysia sejak abad ke 16. Itu semua cerita penjajah. Bukan cerita kita,” katanya sambil menambah muzium perlu menangkis naratif penjajah dan penjajahan.

Sebaliknya, kata Ahmad, ianya perlu menceritakan semula fakta-fakta sejarah dari perspektif nasional, kebangsaan atau tempatan.