- Iklan -
Berita

Polis kenal pasti dokumen 1MDB berkait suami bekas gabenor Bank Negara

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata untuk memastikan dokumen dan keterangan boleh diterima di mahkamah, ia perlu melalui proses 'mutual legal assistance' yang dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia Tawfiq Ayman.
Suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia Tawfiq Ayman.

Pasukan penyiasat mengenal pasti dokumen dan keterangan yang diperlukan untuk siasatan terhadap Tawfiq Ayman suami bekas gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz, yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata bagaimanapun untuk memastikan dokumen dan keterangan itu boleh diterima di mahkamah Malaysia, ia perlu melalui proses mutual legal assistance (MLA) yang dikendalikan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Pada April 2022, polis telah mengemukakan permohonan di bawah MLA melalui Jabatan Peguam Negara kepada pihak berkuasa Singapura," katanya dalam kenyataan semalam.

Pada Mac lepas, PDRM ke Singapura untuk mengumpul maklumat atau keterangan berhubung kes berkenaan.

Sementara itu Acryl berkata PDRM masih menyiasat dakwaan Meta Platform Incorporated bahawa wujud akaun palsu di media sosial yang dikatakan mempunyai kaitan dengan PDRM.

Beliau berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sudah diarahkan untuk menjalankan siasatan.

"Saya menafikan perkara itu sekeras-kerasnya namun saya telah mengarahkan JSJK untuk meneliti dakwaan berkenaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pelantikan Duta Anti-Scam di Maktab PDRM Cheras, di sini, hari ini.

Ogos lepas, Meta menerusi Quarterly Adversial Threat Report mendakwa ada kemungkinan campur tangan polis di sebalik penutupan lebih daripada 600 akaun Facebook dan Instagram di Malaysia kerana menjadi platform 'troll farm'.