- Iklan -
Berita

Kumpulan hak asasi selar cadangan tutup pejabat pelarian PBB di Malaysia

Lawyers for Liberty berkata perlindungan pelarian dan pencari suaka bukan isu campur tangan asing.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Lori imigresen mengangkut tahanan Rohingya dari depoh tahanan sementara di Relau, Kedah. Gambar: Bernama
Lori imigresen mengangkut tahanan Rohingya dari depoh tahanan sementara di Relau, Kedah. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini mengecam cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menutup pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), mempersoalkan dakwaan yang mengatakan kerajaan perlu menguruskan pelarian dan pendatang tanpa dokumen tanpa perlu “campur tangan asing".

Dalam satu kenyataan, Pengarah LFL Zaid Malek berkata perlindungan pelarian dan pencari suaka bukan isu yang boleh dianggap sebagai campur tangan asing.

“Ia adalah satu perakuan terhadap penderitaan golongan yang kehilangan tempat tinggal akibat perang atau persengketaan, dan adalah menjadi tanggungjawab untuk melindungi mereka daripada bahaya,” katanya.

"Malaysia yang dipilih menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, mesti memartabatkan prinsip hak asasi manusia antarabangsa bukan sahaja di luar negara bahkan di dalam negara kita sendiri. Menutup UNHCR sudah pasti akan menjejaskan kedudukan dan reputasi Malaysia di mata antarabangsa."

Pada 6 September, Ketua Pengarah MKN Rodzi Md Saad berkata pihaknya sedang meneliti penutupan operasi pejabat UNHCR di negara ini

Beliau juga berkata MKN perlu memperkukuhkan mekanisme yang dirancang dan memastikan pelaksanaan mantap, baik dan teratur sebelum disyorkan kepada kerajaan.

Zaid berkata UNHCR memainkan peranan penting dalam mengenal pasti pelarian dan pencari suaka di Malaysia, selain berperanan dalam memberi perlindungan dan bantuan sosial yang diperlukan oleh mereka.

"Malaysia juga mempunyai hubungan kerja yang lama dengan UNHCR bermula pada 1975, di mana kedua-duanya bekerjasama untuk melindungi pelarian Vietnam.

“Malahan baru-baru ini, semasa Covid-19 maih tinggi, kedua-duanya bekerjasama rapat untuk memastikan vaksinasi selamat terhadap pendatang tanpa dokumen, yang akhirnya memberi manfaat bukan sahaja kepada pendatang asing bahkan juga rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau juga mempersoalkan rancangan MKN untuk mengendalikan kumpulan itu "secara langsung”, mengatakan "prestasi buruk” Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat meyakinkan ramai terhadap jaminan MKN berhubung rangka rangka kerja pengurusan pendatang dan pelarian tanpa dokumen di Malaysia.

"Pemegang kad UNHCR sentiasa diganggu pihak penguatkuasa dan ramai yang ditahan secara haram di depoh imigresen, satu tindakan yang turut direstui KDN dan kerajaan.

"Keadaan di depoh ini amat mengerikan dan ramai kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia di sana."

Memetik pengusiran lebih 1,000 warga Myanmar tahun lepas ketika negara itu berdepan konflik rampasan kuasa tentera, Zaid berkata: “Apa sahaja rangka kerja yang sedang diusahakan itu amat dicurigai dan tidak boleh dianggap mencapai piawaian antarabangsa, terutama ketika  Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.

"Sekiranya kerajaan benar-benar mahu menangani pelarian melalui penguatkuasaan tempatan, mereka mesti terlebih dahulu meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951, dan tanpa sebarang ratifikasi, usaha mengambil alih peranan UNHCR di Malaysia akan dipandang dengan rasa tidak percaya."