- Iklan -
Berita

Johor siap sedia buka 777 PPS hadapi banjir

Pusat pemindahan sementara yang disediakan itu akan dibahagikan kepada tiga skala iaitu PPS skala besar, sederhana dan kecil.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk di Kampung Laut Batu 10, Johor Bahru berdiri dalam banjir separas pinggang pada Januari. Gambar: Bernama
Seorang penduduk di Kampung Laut Batu 10, Johor Bahru berdiri dalam banjir separas pinggang pada Januari. Gambar: Bernama

Kerajaan negeri Johor bersiap sedia membuka sebanyak 777 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini bagi menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku penghujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail, berkata PPS berkenaan yang melibatkan sekolah, balai raya dan dewan orang ramai itu, mampu menempatkan hampir 200,000 mangsa.

Beliau berkata PPS yang disediakan itu akan dibahagikan kepada tiga skala iaitu PPS skala besar, sederhana dan kecil, bagi menghadapi peningkatan mangsa banjir susulan fenomena La Nina.

“Dikatakan hujan lebat akan lebih kerap berlaku ketika fenomena ini terutamanya November ini sehinggalah Februari depan,” katanya kepada pemberita selepas menutup program latihan amal dan simulasi pengurusan PPS peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang, Johor semalam.

Katanya, buat masa ini, terdapat dua PPS berskala besar yang mampu menampung hampir 5,000 mangsa; 114 PPS berskala sederhana (76,000 mangsa) dan 661 PPS berskala kecil yang mampu menampung sehingga 132,000 mangsa.

Seramai 200 warga kerja pelbagai agensi kerajaan seperti jabatan kebajikan, polis, bomba, pertahanan awam, jabatan pendidikan dan sukarelawan, Southern Volunteers (SV) mengambil bahagian pada program tersebut.