- Iklan -
Berita

Mahkamah Rayuan kekalkan 9 pertuduhan rasuah, gubah wang haram terhadap Azeez

Mahkamah Rayuan memutuskan sembilan pertuduhan akan diteruskan terhadap bekas pengerusi Tabung Haji itu selepas menolak empat pertuduhan pindaan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim tiba di pekarangan Mahkamah Rayuan hari ini bagi keputusan permohonan bekas membatalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim tiba di pekarangan Mahkamah Rayuan hari ini bagi keputusan permohonan bekas membatalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya. Gambar: Bernama

Bekas pengerusi Tabung Haji Abdul Azeez Abdul Rahim gagal dalam rayuannya untuk membatalkan kesemua 13 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya.

Bagaimanapun, hakim Abu Bakar mewakili panel tiga hakim Mahkamah Rayuan berkata, mahkamah bersetuju membatalkan empat pertuduhan pindaan daripada seluruh pertuduhan ke atas tertuduh.

Dengan keputusan tersebut, prosiding kes di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang ditangguhkan sementara menunggu pendengaran rayuan Azeez di peringkat Mahkamah Rayuan akan berjalan seperti biasa bagi sembilan pertuduhan.

Pada Januari 2019, Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 pertuduhan berkaitan projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya di Kedah dan Perak.

Ia membabitkan tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM5.2 juta dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram.

Projek tersebut melibatkan Lebuhraya Persisiran Pantai Baru, kerja-kerja menaik taraf Jalan Persekutuan FT005 (Teluk Intan ke Kampung Lekir, Perak).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB pada 8 Disember 2010 dan Affin Bank Berhad, Setiawalk, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 serta 10 April 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, ahli Parlimen Baling itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.