- Iklan -
Berita

Keputusan berhubung kes pendakwaan perbicaraan Bung Moktar, isteri diketahui hari ini

Jika wujud kes prima facie, pasangan itu akan dipanggil membela diri dan jika sebaliknya mereka akan dilepas dan dibebaskan.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin (kedua dari kiri) bersama isteri Zizie Izette Abdul Samad di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 25 April. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin (kedua dari kiri) bersama isteri Zizie Izette Abdul Samad di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 25 April. Gambar: Bernama

Keputusan sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad dipanggil untuk membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad atau dibebaskan, akan diumumkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob dijadualkan memberi keputusan di akhir kes pendakwaan itu pada pukul 3 petang.

Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Bung Moktar, 64, dan Zizie, 44, maka pasangan suami isteri itu akan dipanggil membela diri manakala jika sebaliknya mereka akan dilepas dan dibebaskan.

Pada 17 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 2 Januari 2020 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 24 Jun lepas.

Antara saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Menteri Kewangan II Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, bekas pengurus besar Pelaburan Felcra Adnan Yusof, Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felcra Habibah Suleiman, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsharil Saharom, serta dua ejen pelaburan Public Mutual Madhi Abdul Hamid dan Norhaili Ahmad Mokhtar.

Kes itu dikendalikan timbalan pendakwa raya (TPR) Faridz Gohim Abdullah, Mohd Sophian Zakaria dan Law Chin How manakala peguam M Athimulan mewakili Bung Moktar serta peguam K Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri bagi pihak Zizie Izette.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh iaitu Zizie Izette. 

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di Kuala Lumpur, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang,  12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette yang juga pelakon mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.