- Iklan -
Berita

Mahkamah putuskan Rosmah bersalah kes rasuah projek hibrid solar

Keputusan hari ini disampaikan selepas baru sahaja lebih kurang seminggu lalu suaminya, Najib Razak, menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi kes penyelewengan dana SRC International.

Teoh Yee Shen
1 minit bacaan
Kongsi
Rosmah Mansor ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Rosmah Mansor ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Rosmah Mansor bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkait projek hibrid solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak, selepas seminggu lalu suaminya Najib Razak diarahkan menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi sabitan kes penyelewengan jutaan dana SRC International.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan berkata pihak pembelaan gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap hujah pendakwaan di mana pembelaan hanya membuat penafian tanpa diiringi bukti berwibawa.

Rosmah, 70, diarahkan membela diri terhadap tiga pertuduhan tersebut pada 18 Februari tahun lalu, selepas pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kesnya.

Beliau menghadapi satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.

Rasuah tersebut didakwa diterima melalui pembantunya Rizal Mansor sebagai balasan kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan kontrak projek bersepadu sistem solar photovoltaic (PV) hibrid dan penyelenggaraan serta operasi genset/diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus dari Kementerian Pendidikan Malaysia.

Penghakiman Mahkamah Tinggi hari ini disampaikan selepas baru seminggu Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir suaminya, Najib Razak bagi mengenepikan sabitan dan hukumannya dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.