- Iklan -
Berita

Kerajaan perkenal visa premium, tarik hartawan melabur dalam negara

Program berkonsep 'Residensi Melalui Pelaburan' itu akan dibuka untuk permohonan mulai Oktober.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud pada sidang media hari ini. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud pada sidang media hari ini. Gambar: Bernama

Malaysia memperkenalkan program visa premium (PVIP) Malaysia bagi menarik minat hartawan global melabur serta menetap di negara ini bagi tempoh 20 tahun.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata program berkonsepkan "Residensi Melalui Pelaburan" itu, yang pertama seumpamanya diperkenalkan oleh kerajaan, bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi, menjana pendapatan negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.

Katanya, program itu akan dibuka untuk permohonan mulai 1 Oktober 2022.

Hamzah berkata PVIP Malaysia disasarkan kepada hartawan global dari semua negara asing kecuali Israel dan negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.

Beliau berkata peserta program akan diberikan manfaat berupa kelulusan sehingga 20 tahun, kebenaran belajar, kebenaran membeli hartanah seperti bangunan kediaman, bangunan perdagangan atau industri dan membuat pelaburan secara aktif dalam bidang yang dibenarkan.

"Peserta program juga dibenarkan untuk bekerja dan menjalankan aktiviti perniagaan yang sah mengikut undang-undang negara," katanya dalam sidang media di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Bagi memastikan pelaksanaan PVIP Malaysia tidak menggugat aspek keselamatan dan kedaulatan negara, Hamzah berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) menetapkan dasar kawalan antaranya pengenalan siling bilangan peserta, iaitu prinsipal dan tanggungan pada satu-satu masa tidak melebihi satu peratus dari jumlah warganegara Malaysia.

"Kalau warganegara sekarang 30 juta, maka bermakna hanya 1% (peserta) mesti ada dan ia merupakan satu jumlah siling yang merangkumi juga (peserta) Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H)," katanya.

Mengenai syarat penyertaan, Hamzah berkata PVIP Malaysia terbuka kepada semua kategori umur dan mempunyai bukti pendapatan (offshore income) sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan atau RM480,000 secara tahunan.

Syarat lain adalah pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan tiada pengeluaran dibenarkan ke atas nilai prinsipal, manakala pengeluaran sebanyak 50% daripada nilai prinsipal dibenarkan selepas setahun menyertai program bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan.

Beliau berkata KDN menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 peserta dalam tahun pertama program itu dilaksanakan, dengan anggaran hasil kepada negara sebanyak RM200 juta dan simpanan tetap sebanyak RM1 bilion.

"KDN berkeyakinan program ini mampu menarik lebih banyak pelaburan langsung asing yang akan mengukuhkan ekonomi dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Di samping itu, permintaan mata wang Ringgit Malaysia juga akan meningkat dan nilainya akan mengukuh berbanding mata wang negara asing," katanya. 

Beliau berkata KDN memberi jaminan bahawa Jabatan Imigresen Malaysia dan polis akan sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala dari semasa ke semasa bagi memastikan program PVIP Malaysia itu menepati dasar dan matlamat pelaksanaannya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.