- Iklan -
Berita

Kenali Gurcharan, juruterbang yang membawa pulang jenazah bekas PM

Gurcharan Singh Sidhu bekerja keras sepanjang kariernya, sehingga menjadi Sikh pertama yang dinaikkan pangkat sebagai kapten.

Azzman Abdul Jamal
3 minit bacaan
Kongsi
Gurcharan Singh Sidhu ketika penerbangan bersama syarikat Malaysia-Singapore Airlines.
Gurcharan Singh Sidhu ketika penerbangan bersama syarikat Malaysia-Singapore Airlines.

Menjadi seorang juruterbang, bukan sekadar satu pekerjaan bagi Gurcharan Singh Sidhu, sebaliknya ia merupakan sebuah kerjaya yang mencipta identitinya.

Namun begitu, Gurcharan mengakui, walaupun beliau kini dikenali sebagai antara bekas juruterbang terkemuka di Malaysia, perjalanannya menuju ke arah kejayaan dipenuhi pelbagai rintangan.

Malah, ketika masih muda, kerjaya ini bukanlah "pilihan pertama" yang ditetapkan bapanya kerana beliau pada mulanya disasarkan menjadi seorang inspektor polis atau doktor.

Gurcharan yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik, dibesarkan di Kampung Baru Buntong, sebuah perkampungan kecil yang terletak di Ipoh, Perak.

Beliau bersama keluarganya berpindah ke kampung itu pada 1959 apabila bapanya bersara sebagai seorang anggota polis.

Juruterbang
Juruterbang

Gurcharan berkata, minatnya untuk menjadi seorang juruterbang merupakan cita-citanya sejak kecil, namun ia tidak dipersetujui oleh bapanya.

Lebih menyedihkan, beliau membuat permohonan untuk menjadi seorang juruterbang selepas tamat zaman persekolahannya, namun tawaran untuk menyertai sebuah syarikat penerbangan disorokkan oleh bapanya.

"Ayah pesan supaya saya menyertai polis kerana dia ingin saya jadi seorang inspektor," katanya kepada MalaysiaNow.

"Oleh itu, saya cuba mohon tetapi gagal. Kemudian ayah sasarkan supaya saya menjadi seorang doktor."

Bagaimanapun, Gurcharan nekad untuk menjadi seorang juruterbang dan kali ini beliau secara senyap-senyap membuat permohonan baru dengan bantuan bapa saudaranya.

Pada 1971, beliau telah menerima tawaran bekerja bersama Malaysia-Singapore Airlines (MSA) -sebuah syarikat penerbangan yang dimiliki secara bersama antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

"Sudah tentu, ayah dapat tahu saya menjadi seorang juruterbang, namun semua ahli keluarga termasuk bapa saudara memujuknya supaya benarkan saya teruskan impian ini," katanya.

Pada Oktober 1972, apabila MSA berpisah menjadi Malaysia Airlines dan Singapore Airlines, Gurcharan memilih untuk terbang bersama syarikat penerbangan tempatan meskipun ditawarkan pendapatan lumayan oleh syarikat penerbangan daripada Singapura.

Katanya, pilihan dibuat berdasarkan semangat cintakan negara di samping keinginan untuk berada dekat dengan keluarganya.

Bawa pulang jenazah Abdul Razak

Selepas lima tahun bekerja bersama Malaysia Airlines, Gurcharan menerima antara tugasan yang tidak akan dilupakannya sepanjang kariernya sebagai seorang juruterbang.

Pada Januari 14 Januari 1976, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pemergian perdana menteri Abdul Razak Hussein akibat penyakit leukemia ketika beliau sedang mendapatkan rawatan di London.

Susulan itu, jenazahnya diaturkan untuk dibawa pulang dari London menerusi penerbangan London-Kuwait dan seterusnya Kuwait-Malaysia memandangkan tiada penerbangan secara terus dari ke Malaysia.

Pada ketika itu, Gurcharan yang berusia 27 tahun bertugas sebagai pembantu juruterbang dan beliau dimaklumkan lebih awal mengenai tugasan tersebut memandangkan ia bertepatan dengan jadual penerbangannya.

PilotGuru01_Mnow_220822

"Saya dimaklumkan mengenai berita pemergian Tun (Razak) dan diberi taklimat mengenai tugasan tersebut kira-kira 15 jam sebelum kami mulakan penerbangan dari Kuwait ke Malaysia.

"Oleh itu, saya sudah tahu bahawa saya akan terbang bersama Kapten Arshad Bakar dengan pesawat Boeing 707, jadi saya hanya dipilih berdasarkan jadual penerbangan.

"Penerbangan itu dimulakan sebaik jenazah Tun tiba dari London dan kami hanya membawa jenazah beliau yang diiringi oleh ahli keluarganya," kata Gurcharan sambil menambah jenazah Razak ditempatkan di ruangan kabin.

Apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang (kini dikenali sebagai Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah), Gurcharan menggambarkan suasana pilu apabila ramai orang sedang menanti ketibaan jenazah Bapa Pembangunan itu pulang ke tanah air.

Melangkah ke hadapan, Gurcharan pada 1979 dinaikkan pangkat menjadi kapten, menjadikannya yang pertama dalam kalangan kaum Sikh untuk menjawat jawatan itu.

Perjalanan Gurcharan bersama Malaysia Airlines secara rasminya tamat pada Oktober 1999 selepas berkhidmat selama 29 tahun bersama syarikat penerbangan itu.

Beliau kemudian ditawar bekerja bersama Jet Airways dari India untuk seketika sebagai pengarah operasi sebelum berpindah ke Korean Air dan berkhidmat bersama syarikat penerbangan dari Korea Selatan itu selama 10 tahun sebagai kapten pesawat jumbo.

"Selepas itu, saya pulang ke Malaysia, namun tidak lama kemudian saya terima tawaran untuk bekerja dengan syarikat penerbangan dari Arab Saudi, Al Wafeer Air disebabkan pengalaman saya menerbangkan pesawat Boeing 744," katanya.

Namun begitu, Gurcharan tidak berkhidmat lama dengan syarikat penerbangan itu memandangkan mereka mengalami isu pembayaran gaji terhadap kakitangan termasuk juruterbang.

PilotGuru05_Mnow_220822

"Pada ketika ini saya kembali ke Malaysia dengan harapan untuk bersara memandangkan saya sudah berusia 60 tahun namun disebabkan usia persaraan di Malaysia meningkat ke 65, saya terima tawaran kontrak bekerja bersama AirAsia X,” katanya.

Menurut Gurcharan, beliau bagaimanapun hanya mampu berkhidmat kira-kira selama setahun setengah disebabkan masalah kesihatan.

Disebabkan situasi ini, beliau memutuskan untuk terus bersara daripada menjadi seorang juruterbang.

Mengimbas kembali memori berkhidmat sebagai seorang juruterbang hampir sepanjang hayatnya, Gurcharan berkata beliau bangga dengan segala yang dicapai.

"Bukan saja saya sudah berkhidmat dengan enam syarikat penerbangan, malah saya juga sudah mengelilingi dunia dan jejak hampir semua negara," kata beliau.

Namun, apa yang membuatkan beliau terus tersenyum ialah melihat anaknya Ajit Pall Sing Sidhu menjadi seorang juruterbang, meneruskan legasinya.

Malah, meskipun dengan segala pencapaian luar biasa oleh Gurcharan, beliau yakin anaknya, satu hari nanti akan mengatasi pencapaiannya.

"Saya pesan kepadanya bahawa pencapaian saya sepatutnya menjadi penanda aras dan cuba atasinya.

"Dia adalah seorang juruterbang yang cemerlang," tambahnya.