- Iklan -
Berita

Polis siasat Zahid mengikut Akta Hasutan berhubung taklimat khas Umno

Polis menerima 12 laporan berhubung ucapan presiden Umno itu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Polis mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung ucapan taklimat khas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi Sabtu lalu.

Dalam sebuah kenyataan, Ketua Komunikasi Korporat PDRM Asmawati Ahmad berkata siasatan terhadap Zahid dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

“Setakat ini sebanyak 12 laporan polis yang diterima dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Menurutnya, Zahid disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Dalam ucapannya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Zahid mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengenepikan rayuan bekas perdana menteri Najib Razak baru-baru ini berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International. 

Menurut Zahid, apa yang berlaku ke atas Najib itu adalah percaturan politik dendam Pakatan Harapan.

Katanya, peguam negara diibaratkan bagai dewa, boleh mendakwa dan membebaskan mengikut telunjuk tuan politiknya.

Menurutnya lagi, apa yang berlaku dalam kes Najib akan menjadi rujukan kepada kes-kes selepas ini dan akan dirujuk oleh mahkamah dan peguam negara Komanwel.

“Saya tidak hairan jika keputusan kes saya juga sudah ada.

“Kes Guan Eng dan Syed Saddiq juga sudah ada.

“Cuma, jangan terkejut jika mereka dibebaskan.

“Ramai yang beranggapan mahkamah hanya dianggap adil jika orang seperti kita semua dijatuhkan hukuman dan bersalah, dan orang di sebelah sana dibebaskan,” katanya.

Taklimat khas yang diadakan pada Sabtu itu juga turut menyaksikan anak-anak Najib memberikan ucapan termasuk Mohd Nizar Najib dan Nooryana Najwa .

Selain itu, Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said dan peguam Muhammad Shafee Abdullah dan Zaid Ibrahim turut memberikan ucapan.