- Iklan -
Berita

Pengurusan kes rayuan pendakwaan berhubung kes CEO Cradle Fund ditetapkan 5 September

Prosiding akan dijalankan menerusi aplikasi Zoom di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Samirah Muzaffar (kedua dari kanan) yang merupakan balu kepada CEO Cradle Fund Nazrin Hassan meninggalkan Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dibebaskan daripada pertuduhan membunuh pada 21 Jun lalu. Gambar: Bernama
Samirah Muzaffar (kedua dari kanan) yang merupakan balu kepada CEO Cradle Fund Nazrin Hassan meninggalkan Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dibebaskan daripada pertuduhan membunuh pada 21 Jun lalu. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan menetapkan 5 September ini bagi pengurusan kes rayuan pendakwaan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan.

Rahmat  Mohamed Hazlan, seorang daripada peguam yang mewakili Samirah, ketika dihubungi hari ini, mengesahkan bahawa pengurusan kes tersebut pada hari berkenaan akan dijalankan menerusi aplikasi Zoom di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan.

Pada 21 Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Ab Karim Ab Rahman, menetapkan keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 47,  yang juga balu Nazrin dan remaja berusia 16 serta 19 tahun berkenaan.

Dua hari selepas itu, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan untuk membatalkan keputusan tersebut.

Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45,  di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi, 14 Jun 2018.