- Iklan -
Berita

Bagaimana kerja di Singapura jadi mimpi ngeri pemandu bas warga Malaysia

Mereka berkata tidak mendapat layanan secara adil oleh majikan, dan berharap dapat bantuan selepas kalah dalam saman kali pertama.

Nur Hasliza Mohd Salleh & Teoh Yee Shen
3 minit bacaan
Kongsi
Beberapa penumpang menaiki bas awam SBS Transit di Singapura.
Beberapa penumpang menaiki bas awam SBS Transit di Singapura.

Michael (bukan nama sebenar) bekerja sebagai pemandu bas untuk sebuah syarikat pengangkutan awam di Singapura selama enam tahun, dari 2014 hingga 2020.

Kini dia kembali ke kampungnya menjual nasi lemak untuk menampung hidup, lelaki berusia 34 tahun itu mempunyai pengalaman pahit di republik itu.

Kisah Michael bermula 2013 ketika dia mencari kerja di Singapura.

Pada Disember tahun itu, dia berjaya mendapat tempat di SBS Transit Ltd dan dia pada tahun berikutnya, dia memulakan kerja.

"Selepas tiga bulan latihan, ada ujian polis trafik, selepas ujian, mereka akan letakkan kami dalam perkhidmatan.”

Namun, dia dan beberapa pekerja kurang senang dengan beberapa perkara, di mana mereka mendakwa tidak mendapat layanan secara adil.

“Kami tidak dibenarkan mengambil MC. Jika kami mengambil MC, mereka akan menolak bayaran bonus.”

Sepanjang berkhidmat di SBS, dia menetap di Johor Bahru yang memerlukannya berulang-alik setiap hari ke Singapura. 

Dia memulakan kerja dengan gaji asas S$1,350 (RM4,340) sehingga 2020, gajinya ialah S$1,970 (RM6,334).

Syifnya bermula pada pukul 2.00 petang dan tamat sekitar pukul 12.00 tengah malam.

Selepas syifnya tamat, dia akan memandu bas balik ke depo untuk dibersihkan dan beberapa prosedur lain yang perlu disemak. 

Semua kerjanya selesai pada pukul 2.00 pagi dan ketika itu dia akan pulang ke Johor Bahru.

“Mereka desak kami bekerja pada hari cuti umum. Mereka mahu anda bekerja sepanjang hari, seperti robot,” katanya.

"Saya bekerja tujuh hari seminggu, masuk hari kelapan ialah hari cuti saya."

Mengulas lanjut, dia berkata, selama sebulan bekerja di SBS dia sudah mula mengesan ketidakadilan yang berlaku. 

Bagaimanapun, untuk memastikan dirinya masih bergaji dan memiliki pekerjaan, dia bertindak untuk mendiamkan diri serta tidak mempersoalkan apa-apa perkara.

Namun akhirnya, dia dan 12 lagi pekerja bersetuju untuk membuat tindakan undang-undang.

Saman pertama dimulakan Chua Qwong Meng yang menjadi plaintif utama, membuat tuntutan terhadap syarikat itu pada 2019.

Perbicaraan itu dimulakan pada Mac 2022 di Mahkamah Tinggi Singapura. 

Pada 26 Ogos, Mahkamah Tinggi Singapura menolak semua tuntutan Chua, mematahkan harapan 12 yang lain untuk membuat kes.bersama 12 pemandu lain, sembilan daripadanya adalah rakyat Malaysia.

"Sebelum perkara ini dibawa ke mahkamah, saya dapat tahu melalui laman web Kementerian Tenaga Kerja (MOM) waktu bekerja seminggu ialah 44 jam."

Dia pernah mengemukakan perkara itu dengan kesatuan pekerja, namun jawapan yang diberikan adalah menghampakan.

Katanya, selepas SBS mengetahui dia menyertai tuntutan di mahkamah, syarikat itu mula bertindak “menyasarkan" dirinya.

“Pengurus saya pergi ke tepi jalan, mengambil bacaan laju saya. Biasanya, ini dilakukan oleh pegawai tiket.”

Sementara itu, seorang lagi bekas pemandu di syarikat yang sama meluahkan kekecewaan terhadap keputusan tersebut.

Alex (bukan nama sebenar) berkata tidak pernah menyangka akan dihina dan diperguna sedemikian rupa apabila mengambil keputusan untuk bekerja di republik itu yang kononnya terkenal dengan bayaran gaji lumayan dan sempurna segala aspek. 

Selepas berkhidmat di SBS selama lebih dua tahun, dia sering kali memendam rasa tidak puas dan marah kepada pihak pengurusan. 

Ini kerana katanya, jika dia membuat masalah atau mengadu kepada pihak atasan, dia berisiko kehilangan kerja sedangkan ketika itu hutang untuk mengambil lesen memandu bas masih belum dilangsaikan.

“Saya dari Puchong ke Singapura pinjam duit dengan ahli kelurga. Saya dabik dada apabila lulus ujian dan dapat kerja di Singapura.

“Tetapi dilayan jauh lebih teruk daripada pekerja buruh asing di negara sendiri. Saya selalu menasihati rakan-rakan yang mahu datang ke Singapura untuk kerja supaya berfikir masak-masak.

“Kehidupan di sana sangat kejam, tidak seindah dan romantis seperti yang dibayangkan,” katanya kepada MalaysiaNow.

 Ketika ditanya, apakah pekerjaan terbarunya selepas meninggalkan syarikat tersebut, dia enggan mengulas lanjut kerana bimbang menjadi sasaran “perisik-perisik” tempat kerjanya sebelum ini.

Sementara itu, sekembalinya Michael ke kampung halamannya di Semenyih, dia bekerja keras untuk menjual nasi lemaknya.

Kontraknya dengan SBS tamat pada 2020 akibat pandemik Covid-19.

Pada masa ini, Michael sedang berusaha untuk membayar pinjaman rumah dan keretanya yang kesemuanya menelan belanja kira-kira RM3,000 sebulan.

“Perniagaan nasi lemak ini sahaja yang saya buat untuk tampung kehidupan,” katanya.