- Iklan -
Berita

Mahkamah Singapura tolak saman bekas pemandu bas berhubung amalan kerja tidak adil

Mahkamah Tinggi Singapura berkata tuntutan itu tanpa merit dan tidak berasas.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Agung Singapura yang menempatkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP
Mahkamah Agung Singapura yang menempatkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP

Mahkamah Tinggi Singapura hari ini menolak semua tuntutan bekas pemandu bas SBS Transit yang memfailkan saman tuntutan terhadap syarikat pengangkutan awam itu berhubung amalan kerja tidak adil termasuk waktu bekerja yang panjang dan tidak dibayar bagi kerja lebih masa.

Saman itu dibuat oleh plaintif utama, Chua Qwong Meng bersama 12 pemandu lain.

Difahamkan, sembilan daripada 13 pemandu itu adalah warga Malaysia.

Chua, yang bekerja dengan syarikat pengangkutan tersebut dari April 2017 hingga Februari 2020 dengan menerima kadar gaji asas sebanyak S$2,110 menuduh SBS Transit gagal memberikan satu hari cuti dari seminggu hari kerja. 

Saman itu turut mengemukakan contoh di mana dia mengatakan bekerja untuk tujuh hari atau lebih secara berturut-turut sebelum mendapat cuti.

Dia juga mendakwa menerima gaji kurang untuk kerja lebih masa di syarikat itu dan terdapat percanggahan dalam pengiraan jumlah jam kerjanya.

Bagaimanapun, hakim Mahkamah Tinggi Audrey Lim menolak dakwaan Chua itu dan berkata ia tuntutan itu dibuat tanpa asas undang-undang.

Lim berkata, Chua sudah pun merekodkan masa bagi permulaan dan tamat waktu kerjanya setiap hari dan helaian pengiraan jam kerja itu diserahkan kepada pegawai perhubungan industri di mana ia tidak disahkan oleh pegawai itu secara bebas.

“Namun helaian pengiraan tidak tepat dan tidak boleh dipercayai.

"Chua mengakui dia tidak mengecualikan waktu rehat daripada jumlah jam dia bekerja," kata Lim.