- Iklan -
Berita

Arul tidak tahu penglibatan hakim Nazlan berhubung pinjaman 1MDB

Bekas CEO 1MDB itu berkata beliau tidak pernah berjumpa secara langsung dengan hakim Nazlan yang merupakan pegawai undang-undang Kumpulan Maybank ketika itu.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak mengetahui tentang penglibatan hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohd Nazlan Ghazali dalam pinjaman RM4.17 bilion kepada dana kekayaan negara itu.

Malah Arul berkata beliau tidak pernah berjumpa secara langsung dengan Nazlan, yang merupakan pegawai undang-undang am Kumpulan Maybank ketika itu.

Hakim Nazlan yang kini hakim Mahkamah Rayuan telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri Najib Razak kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta pada 28 Julai 2020.

Saksi pendakwaan ke-15 itu berkata berhubung pinjaman yang diambil 1MDB daripada Maybank, beliau sering berurusan dengan jurubank lain seperti Michael Oh-Lau.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1MDB membabitkan Najib dan Arul.

Shafee: Adakah mana-mana pegawai ini menyedarkan anda bahawa mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada ketua mereka?

Arul: Bukan secara langsung... Saya bekas jurubank. Sebelum ini, perbincangan diadakan pada satu peringkat dan dalaman bank, mereka perlu melalui proses kelulusan mereka sendiri.

Shafee: Dari segi undang-undang, siapakah pegawai undang-undang am bagi Kumpulan Maybank? 

Arul: Nazlan. Saya tidak pasti nama penuhnya.

Shafee: Adakah Mohd Nazlan Mohd Ghazali?

Arul: Ya, (tetapi) saya tidak pernah berjumpa beliau sebelum ini.

Shafee: Saya cadangkan pinjaman sebesar ini mesti mendapat kelulusan daripada bahagian undang-undang bank?

Arul: Saya rasa begitu.

Semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya kanan  Gopal Sri Ram, saksi itu berkata beliau tidak mengetahui mengenai penglibatan Nazlan dalam proses pinjaman itu.

Sri Ram: Adakah dicadangkan kepada kamu oleh pihak pembelaan bahawa Nazlan terlibat dalam (pinjaman kepada 1MDB)?

Arul: Ya.

Sri Ram: Adakah anda mempunyai pengetahuan tentang perkara ini (Mohd Nazlan terlibat dalam pinjaman kepada 1MBD)?

Arul: Tidak.

Semasa prosiding hari ini, Arul juga memberitahu mahkamah bahawa bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir telah menyekat maklumat daripada pengetahuan Jabatan Audit Negara (JAN) ketika dana kekayaan negara itu dalam proses diaudit pada 2015.

Arul seterusnya berkata beliau tidak bertanggungjawab ke atas operasi harian 1MDB, mahupun berhubung terus dengan JAN untuk proses audit kerana tugas itu adalah tanggungjawab Azmi.

Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung 2 September.