- Iklan -
Berita

Pembelaan gagal dapatkan salinan percakapan saksi utama kes pecah amanah Syed Saddiq

Pihak pendakwaan berkata peguam Syed Saddiq gagal meyakinkan mahkamah bahawa mereka telah memenuhi syarat di bawah Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2022. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2022. Gambar: Bernama

Pihak pembelaan hari ini gagal mendapatkan salinan rakaman percakapan seorang saksi utama pendakwaan yang direkod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi di sini.

Ini berikutan keputusan pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid yang menolak permohonan peguam Gobind Singh Deo untuk mendapatkan salinan percakapan saksi pendakwaan ke-13, bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim Razali.

Sebelum ini, Gobind berhujah pernyataan yang dirakam oleh SPRM pada 2020 itu penting kerana wujud dua senario bercanggah yang diberikan oleh saksi tersebut berhubung kutipan dana untuk tujuan kempen Ahli Parlimen Muar itu.

Beliau berkata Rafiq memberitahu pegawai penyiasat SPRM bahawa wang dalam akaun Armada adalah hasil kutipan dana orang ramai oleh Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar, namun ketika memberi keterangan lisan di mahkamah, saksi itu menyatakan dana tersebut dikumpul untuk kegunaan Armada.

Timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin bagaimanapun memohon permohonan itu ditolak atas alasan pembelaan gagal meyakinkan mahkamah bahawa mereka telah memenuhi syarat di bawah Seksyen 51 Kanun Tatacara Jenayah.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.