- Iklan -
Berita

Najib gagal gugurkan ketua hakim negara dari kes rayuannya

Bekas perdana menteri itu mahu Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada pendengaran rayuan sabitannya dalam kes SRC.

Bernama & Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Istana Kehakiman hari ini. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Istana Kehakiman hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan peguam pembelaan Najib Razak bagi menggugurkan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat daripada mendengar rayuan bekas perdana menteri itu berhubung sabitan dan hukuman dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Dalam permohonan mereka, peguam Najib memetik “bahaya berat sebelah yang nyata” berhubung hantaran media sosial oleh suami Tengku Maimun pada  2018 yang dikatakan mengkritik Najib.

"Sebagai suami kepada pengerusi yang mengadili rayuan saya, kemungkinan besar dia akan mempengaruhi pemikiran pengerusi mengenai dakwaan bahawa saya bersalah," kata permohonan Najib itu. 

Tengku Maimun mempengerusikan panel hakim termasuk Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd

Percubaan untuk menggugurkan beliau dibuat lewat malam semalam selepas minggu lalu peguam Najib Hisyam Teh Poh Teik cuba menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu walaupun baru sahaja dilantik sebagai peguam bagi prosiding rayuan terakhirnya untuk mengenepikan hukuman penjara.

Hisyam memberitahu mahkamah hari ini bahawa peguam Najib sebelum ini, Muhammad Shafee Abdullah telah dilantik untuk membantu beliau dalam permohonan menggugurkan ketua hakim itu. 

Bagaimanapun, permohonan Shafee supaya mahkamah ditangguhkan bagi persediaan hujahan permohonan tersebut ditolak, di mana pendakwaan mengatakan ia adalah percubaan untuk membatalkan pendengaran rayuan.

Ketika membaca keputusannya berhubung permohonan itu, Maimun berkata tidak ada hubungan antara hantaran Facebook yang dibuat oleh suaminya dan proses rayuan tersebut.

“Hantaran itu dibuat empat tahun lalu,” katanya selepas mahkamah kembali bersidang selepas tiga jam ditangguhkan.