- Iklan -
Berita

Laporan audit perincikan penyelewengan, kelemahan tadbir urus projek LCS

Bukti penyelewengan LCS dikumpul seawal 2010.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Reka bentuk kapal tempur pesisir 1 atau LCS1 yang baru siap 60% pada April tahun ini di Lumut, Perak.
Reka bentuk kapal tempur pesisir 1 atau LCS1 yang baru siap 60% pada April tahun ini di Lumut, Perak.

Bukti penyelewengan dan kelemahan tadbir urus berhubung program kapal tempur pesisir (LCS) telah dikumpulkan seawal 2010 lagi, menurut laporan audit forensik oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd bagi Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC).

Laporan yang tidak lagi diklasifikasikan sebagai rahsia dan dimuat naik ke laman web rasmi Parlimen malam ini, menyatakan bukti-bukti mengesahkan bahawa vendor bagi program itu sudah ditentukan walaupun sebelum surat anugerah (LOA) dikeluarkan oleh kerajaan, memihak kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Laporan itu juga mendapati bahawa syarat kebanyakan LOA dan pesanan variasi lebih menguntungkan sebuah syarikat bernama Contraves Advanced Devices Sdn Bhd, dengan kebanyakan LOA kepada syarikat itu dikeluarkan tanpa dibentangkan terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pemandu LCS (LCSSC) untuk kelulusan mereka.

Menurutnya keputusan utama juga diambil melalui resolusi pekeliling pengarah tanpa mengadakan mesyuarat lembaga, sekali gus tambah menjejaskan ketelusan dan peluang untuk berbincang secara terperinci dan meneliti dokumen penting tertentu sebelum resolusi diluluskan.

“Lembaga tidak mengendahkan nasihat bekas panglima tentera laut yang membangkitkan bantahan pada mesyuarat Lembaga mengenai pemilihan DCNS untuk kontrak reka bentuk dan sokongan.

Kontrak pembekalan enam LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) menjadi isu hangat selepas didedahkan bahawa projek yang dijadualkan untuk dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun dari 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023 itu, hanya 53.29 peratus siap pada 31 Mei 2019.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Penyiasat Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan yang didedahkan pada Rabu, RM5.94 bilion telah dibayar Kementerian Pertahanan kepada BNS untuk projek berkenaan setakat ini.

LOA telah diberikan kepada BNS pada 16 Disember 2011, dengan kontrak terakhir hanya ditandatangani pada 17 Julai 2014, kira-kira dua setengah tahun selepas LOA ditandatangan pada harga kontrak RM9 bilion.

Menurut IFA, terma rujukan (TOR) LCSSC juga didapati berat sebelah kerana ahli jawatankuasa itu akan dipilih oleh pengarah urusan BHIC tanpa perundingan dengan lembaga pengarah, dengan MD akan menjadi Pengerusi.

“Ini memberikan MD kawalan mutlak dan mengakibatkan kekurangan kebebasan dalam kalangan ahli jawatankuasa yang lain. Akibatnya ahli menjadi berlebihan dan gagal melaksanakan fungsi mereka yang dipilih untuk berada di dalam LCSSC,” katanya.

Selain itu bayaran RM23.37 juta melibatkan beberapa syarikat kerana menyediakan perkhidmatan teknikal perkhidmatan penilaian yang berkaitan dengan kapal peronda generasi kedua (SGPV), didapati ia adalah perkhidmatan palsu.

“Invois untuk perkhidmatan yang tidak wujud itu digunakan sebagai cara untuk melarikan dana, kerana syarikat-syarikat ini telah memberikan alamat palsu pada invois mereka dan pembayaran telah dialihkan ke tempat lain.

“Salah satu daripada syarikat itu adalah milik orang sama yang turut terlibat dalam Alizes Marine. Keseluruhan wang yang dikeluarkan untuk Alizes Marine disyaki diterima oleh sebuah syarikat yang berdaftar di Labuan,” katanya.

Walaupun dengan pelbagai tanda amaran dibangkitkan oleh bekas pegawai serta sekutu syarikat berkenaan mengenai pelbagai penyelewengan dalam pelaksanaan program LCS, tiada langkah-langkah pembetulan diambil di pihak pengurusan mahupun Pengerusi Lembaga BHIC bagi menghentikan penyalahgunaan kuasa.