- Iklan -
Berita

Kalau saya perasuah, pasti sumbangan wang atas nama saya, kata Zahid

Beliau berkata 'orang yang ikhlas sepertinya ini dituduh, manakala orang yang songlap duit tidak dituduh'.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam. Gambar: Bernama
Bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam. Gambar: Bernama

Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan di Mahkamah Tinggi hari ini sekiranya beliau seorang perasuah, pastinya wang RM2 juta yang diterima daripada seorang pengarah syarikat akan dibuat atas nama beliau sendiri dan bukan ditandakan sebagai "sumbangan politik".

Katanya beliau menerima wang RM2 juta dalam tiga cek daripada pengarah syarikat Profound Radiance Sdn Bhd (PRSB), Azlan Shah Jaffril yang ditandakan sebagai "amal jariah" dan "sumbangan politik untuk timbalan perdana menteri’.

“Wang RM2 juta ini tidak dimasukkan ke dalam akaun peribadi saya, tetapi untuk Yayasan Akalbudi (YAB) yang akaunnya dipegang oleh firma guaman Tetuan Lewis & Co.

“Orang yang ikhlas seperti saya ini dituduh, manakala orang yang ‘songlap’ duit tidak dituduh. Saya rasa ini sesuatu yang tidak patut berlaku kepada saya,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.

Beliau berkata keterangan Azlan selaku saksi pendakwaan ke-18 juga menyatakan bahawa wang RM2 juta itu adalah sumbangan politik dan kebajikan, dan ia harus diterima mahkamah kerana ia adalah keterangan bersumpah oleh saksi.

Beliau berkata demikian ketika disoal balas timbalan pendakwa Raya Abdul Malik Ayob semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana YAB. 

Malik kemudian beberapa kali bertanyakan soalan kepada Zahid mengenai tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam membuat keputusan bagi memberi kelulusan kepada PRSB untuk mengendalikan perkhidmatan One Stop Centre (OSC) visa di Nepal dan Pakistan.

Bagaimanapun Zahid dilihat seperti ingin mengelak daripada menjawab soalan itu dan merujuk kepada satu minit mesyuarat yang menyatakan kelulusan kepada PRSB hanya dibuat setelah mengambil kira syor-syor yang dibuat ketika mesyuarat KDN sebelum ini. 

Malik: Sekarang ini saya masih tidak dapat kenal pasti siapa sebenarnya yang membuat keputusan untuk luluskan PRSB. Bila saya teliti keterangan, Datuk Seri katakan arahan diberikan perdana menteri ketika itu,Najib Razak tetapi Datuk Seri kata keputusan itu dibuat oleh orang-orang lain iaitu Ketua Setiausaha dan timbalan ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Zahid: Yang Arif, saya berharap tuan timbalan pendakwa raya ini tidak akan jadi menteri pada satu hari dan saya doakan beliau tahu peraturan, iaitu di mana-mana kementerian sekali pun mesti ikut prosedur sama (prosedur untuk meluluskan sesebuah syarikat).

Malik: Datuk Seri, saya tidak teringin hendak jadi ahli politik.

Zahid: Bagus, memang tidak layak.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan Zahid untuk menjawab soalan yang dikemukakan Malik, sebelum mahkamah berhenti rehat.

Zahid turut diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Bagi pertuduhan ke-16, 17 dan 18 yang dihadapinya, Zahid, 69, didakwa secara rasuah menerima tiga suapan berjumlah RM2 juta dalam bentuk tiga cek bernilai RM300,000, RM1 juta dan RM700,000 milik PRSB melalui akaun Tetian Lewis & Co, sebagai upah kepadanya selaku menteri dalam negeri dalam melantik PRSB sebagai Pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di Negara Pakistan dan Nepal di Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

Perbicaraan di hadapan hakim Sequerah bersambung hari ini.