- Iklan -
Berita

Ringgit terus catat penurunan, dibuka rendah berbanding dolar AS

Mata wang tempatan berada pada 4.4830/4860 berbanding dolar AS

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Wang kertas Ringgit Malaysia.
Wang kertas Ringgit Malaysia.

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini, terus mencatatkan penurunan dari minggu lepas apabila tumpuan ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat berikutan kemungkinan satu lagi kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Pada 9.15 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.4830/4860 berbanding dolar AS dari 4.4760/4795 pada Jumaat.

Dalam nota penyelidikan hari ini, MIDF Research berkata ringgit merosot sebanyak 0.7% kepada RM4.478 pada minggu ke minggu pada Jumaat lepas walaupun kemerosotan itu tidak begitu mendadak berbanding mata wang utama dan serantau lain. 

“Pelonggaran dasar oleh People’s Bank of China baru-baru ini dan pada tahap tertentu, pertumbuhan yang lembap di China turut membawa kepada penyusutan nilai ringgit dan mata wang serantau,” katanya.

MIDF Research berkata minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 22 Julai lepas memberi petunjuk bahawa Fed terus komited untuk menurunkan inflasi kepada sasaran inflasi jangka panjang sebanyak 2.0%.

“Kenyataan terkini daripada penggubal dasar Fed turut menunjukkan bahawa satu lagi kenaikan kadar yang besar dijangka dipertimbangkan pada mesyuarat FOMC yang akan datang pada 22 September 2022,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.4951/4981 dari 4.5069/5104 pada Jumaat lepas dan naik berbanding pound kepada 5.1949/1984 dari 5.3126/3167 sebelum ini.

Ia turut meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2642/2666 dari 3.2767/2795 pada Jumaat dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2152/2178 dari 3.2225/2254 sebelum ini.