- Iklan -
Berita

Mahkamah tolak permohonan Syed Saddiq cabar kredibiliti saksi utama

Mahkamah mendapati hanya terdapat perbezaan kecil dalam kenyataan lisan dan rakaman saksi yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunjukkan isyarat baik di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunjukkan isyarat baik di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan pihak pembelaan bagi mencabar kredibiliti seorang saksi utama pendakwaan dalam perbicaraan kes bekas menteri belia dan sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Pembelaan memohon untuk mencabar kredibiliti bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim Razali berhubung dakwaan terdapat perbezaan dalam keterangan lisan saksi pendakwaan ke-13 itu di mahkamah dan rakaman percakapan yang direkod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020.

Pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid ketika membuat keputusan itu berkata tiada keperluan untuk mencabar kredibiliti saksi berkenaan.

"Selepas meneliti keterangan lisan dan rakaman percakapan saksi itu, mahkamah mendapati terdapat perbezaan kecil yang tidak terjumlah kepada percanggahan yang material atau serius. Oleh itu, permohonan pembelaan untuk mencabar kredibiliti saksi ditolak," katanya.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq kemudiannya memohon supaya salinan percakapan yang dirakam SPRM itu diserahkan kepada pihak pembelaan dan mahkamah menetapkan petang ini untuk mendengarnya. 

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Pada 25 Julai lepas, Azhar mengarahkan pihak pendakwaan supaya menyerahkan salinan rakaman percakapan Rafiq kepada mahkamah untuk penelitian bagi mengesahkan perbezaan yang terdapat dalam keterangan lisan dan rakaman percakapan berkenaan, sebelum permohonan untuk mencabar kredibiliti saksi diputuskan.

Percanggahan itu merujuk kepada masa dan tempat arahan yang didakwa diberikan oleh Syed Saddiq kepada Rafiq dan Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi untuk mengeluarkan RM1 juta dan tujuan acara kutipan dana di Muar.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya antara 8 dan 21 April 2018.

Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.