- Iklan -
Berita

Kes baru Covid-19 turun 14.5%, kematian berkurang 8.3%

Bilangan kes sembuh juga menurun sebanyak 8.5%.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Penumpang tren MRT memakai pelitup muka untuk melindungi diri daripada jangkitan Covid-19.
Penumpang tren MRT memakai pelitup muka untuk melindungi diri daripada jangkitan Covid-19.

Bilangan kes baru Covid-19 menurun sebanyak 14.5% kepada 22,822 kes pada minggu epidemiologi ke-33 (ME 33/2022) dari 14 hingga 20 Ogos. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi tempoh sama, 55 kematian direkodkan, menurun sebanyak 8.3% berbanding minggu sebelumnya. 

“Bilangan kes sembuh pada ME 33/2022 juga menurun sebanyak 8.5% iaitu 28,905 kes kepada 26,458 kes. 

“Purata kes aktif setiap hari bagi ME 33/2022 adalah 42,010 iaitu terdapat penurunan sebanyak 6% berbanding minggu sebelumnya,” menurut beliau dalam kenyataan berkaitan situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini.

Kemasukan pesakit ke hospital dan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk untuk Kategori Satu dan Dua pula menyaksikan penurunan sebanyak 5% manakala pesakit Kategori Tiga, Empat dan Lima berkurangan sebanyak 15.4% pada ME 33/2022.

Dr Noor Hisham berkata pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) pada ME33/2022 meningkat sebanyak 5%, katil bukan kritikal meningkat 1% manakala katil PKRC tiada perubahan berbanding minggu sebelumnya. 

Selain itu, peratusan pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat 0.3% pada ME33/2022 berbanding ME32/2022.

Beliau berkata kes positif yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara turut menunjukkan sedikit penurunan.

“Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 5.4%, kes baru yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 9.9% manakala kes yang dirujuk CAC ke hospital menurun sebanyak 21.3%,” katanya sambil menambah purata nilai RT juga menunjukkan penurunan sebanyak 3.1%. 

Katanya hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati sebanyak 101 sampel penyakit seperti influenza (ILI) dikesan positif Covid-19 dengan kadar 14.0% manakala tiada sampel jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dikesan positif Covid-19 dan kekal 1.8% pada ME 33/2022.