- Iklan -
Berita

Polis tahan lelaki berhubung ugutan terhadap ketua hakim negara di media sosial

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes ancaman dan ugutan di media sosial ke atas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat pada Jumaat.

Lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Puchong pada 11.15 malam.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman A Skandaguru berkata polis menerima laporan mengenai ancaman dan ugutan itu yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook "Apiez Bond".

Beliau berkata polis juga merampas satu unit telefon bimbit berserta kad sim dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran ugutan itu.

“Suspek telah direman selama empat hari mulai hari ini sehingga Selasa untuk siasatan lanjut dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Jabatan Siasatan Jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Skandaguru berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.

Katanya, siasatan juga dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau berkata polis memandang serius perkara terbabit dan tidak bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan ketenteraman awam selain tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil.

Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai medium laman sosial, termasuk aplikasi Twitter dan Facebook sejak tengah malam tadi.