- Iklan -
Berita

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib kemuka bukti baru kes SRC

Ketua Hakim Negara Tengku Mimun Tuan Mat berkata bukti tersebut tidak relevan dengan kes terhadap bekas perdana menteri itu.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak (tengah) di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak (tengah) di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak permohonan Najib Razak untuk mengemukakan bukti baru dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel lima hakim dalam pendengaran hari ini berkata mereka memutuskan bukti tersebut tidak relevan dengan kes tersebut dan gagal menunjukkan Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Ghazali mempunyai konflik kepentingan.

Bukti tambahan yang ingin dikemukakan Najib adalah berkaitan penemuan baru-baru ini bahawa hakim Nazlan Mohd Ghazali pada 2006 adalah peguam dan setiausaha syarikat bagi Kumpulan Maybank, yang mempunyai tanggungjawab keseluruhan untuk pengurusan dan pentadbiran semua jabatan undang-undang dalam keseluruhan kumpulan.

Semasa menyampaikan keputusan mahkamah, Tengku Maimun berkata tiada kaitan antara pekerjaan Nazlan di bank sebelum ini dengan pertuduhan Najib, justeru beliau memerintahkan supaya rayuan utama diteruskan.

Panel hakim terdiri daripada hakim Abang Iskandar Abang Hashim, Nallini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Tengku Maimun berkata mahkamah memutuskan bahawa Najib gagal melepasi tahap tinggi Seksyen 93 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mengandungi undang-undang mengenai bukti baharu.

“Keseluruhan bukti tambahan yang ingin dikemukakan gagal memenuhi keperluan itu. Permohonan itu gagal mendedahkan sebarang perkaitan dengan keputusan hakim Nazlan. Beberapa bukti akan tersedia semasa perbicaraan atau akan tersedia dengan penumpuan munasabah.

“Pada mulanya kami bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa ketersediaan bukti tidak tertakluk kepada penyampaian di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah sebaliknya sama ada bukti tersedia kepada pemohon semasa perbicaraan.

“Memandangkan peguam untuk SRC dan 1MDB adalah sama, dokumen itu tersedia dan oleh itu boleh dibangkitkan kepada hakim Nazlan mengenai isu konflik yang didakwanya,” kata beliau.

Tengku Maimun berkata peranan Nazlan sebelum ini dalam Maybank diketahui umum dan akan terbuka kepada pemohon untuk membuat sebarang permintaan untuk pendedahan dokumen itu melalui tindakan selanjutnya.

“Pemohon bukan tidak tahu dan tidak diwakili. Tidak boleh menyatakan bahawa dia tidak boleh mendapatkan bukti tanpa usaha dipihaknya. Dalam proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dalam kenyataan daripada kakitangan Maybank dan juga daripada hakim Nazlan, kami gagal melihat bagaimana bukti yang akan dikemukakan mereka berkait dengan pertuduhan terhadap pemohon.

"Kami tidak nampak bagaimana peranan hakim Nazlan dalam Maybank sebelum ini boleh memberi kesan kepada penemuannya dalam perbicaraan SRC dan penubuhan SRC melalui tindakan pemohon sendiri.

“Oleh itu, kami dengan ini menolak permohonan untuk mengemukakan bukti tambahan,” kata Tengku Maimun.

Selepas penghakiman dibacakan, Hisyam memohon agar rayuan utama ditangguhkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan kerana pelantikannya sebagai peguam utama hanya dibuat baru-baru ini.

“Saya juga tidak sihat. Saya dengan rendah hati memohon penangguhan,” katanya.

Sithambaram berkata pihak pendakwaan menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.

"Mahkamah ini sudah dua kali menolak permohonan mereka, oleh itu, kini mahkamah mesti memutuskan perkara itu," kata beliau

Mahkamah menangguhkan prosiding buat sementara waktu sebelum memutuskan perkara itu.

Bermula semalam, Mahkamah Persekutuan mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan dalam kes SRC dalam usaha bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan perbicaraan semula.

Bagaimanapun, dengan keputusan hari ini, Mahkamah Persekutuan dijangka akan meneruskan pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan kesalahan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Keputusan tersebut diputuskan hakim Mahkamah Tinggi yang dipengerusikan Nazlan pada 28 Julai, 2020.

Pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan yang bermula semalam adalah yang terakhir bagi Najib selepas sabitannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lalu.