- Iklan -
Berita

Mengapa industri pertahanan Malaysia masih ketinggalan?

Walaupun industri pertahanan tempatan telah wujud sejak beberapa dekad lalu, namun ia ketinggalan berbanding negara lain seperti Singapura dan Indonesia.

Ahmad Mustakim Zulkifli
4 minit bacaan
Kongsi
Jet pejuang Hawk 208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia membelah langit di pangkalan udara Labuan pada 12 Julai. Gambar: Bernama
Jet pejuang Hawk 208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia membelah langit di pangkalan udara Labuan pada 12 Julai. Gambar: Bernama

Isu kapal tempur pesisir (LCS) yang menjadi buah mulut ketika ini turut menarik persoalan mengenai industri pertahanan negara yang dilihat masih ketinggalan berbanding Indonesia dan Singapura.

Skandal LCS hangat dibahaskan apabila laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sebanyak RM9 bilion diperuntukkan untuk projek tersebut namun tiada satu pun daripada enam kapal siap mengikut tempoh waktu yang ditetapkan. 

Kapal LCS pertama sepatutnya siap pada tahun 2019 namun kini, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein menjangkakan ia bakal siap satu atau dua tahun lagi. 

Industri pertahanan tempatan bukan sesuatu yang baru namun telah berdekad-dekad dimulakan. 

Sebagai contoh, Malaysia mempunyai pengalaman membangunkan kapal serangan laju atau fast attack craft kelas Jerung, menerusi usahasama antara sebuah syarikat tempatan menggunakan reka bentuk Jerman sekitar 70-an.

Namun di sebalik kemajuan itu, industri tempatan masih belum matang jika dibanding dengan Indonesia atau Singapura. 

Sebagai contoh, Indonesia kini sedang berusaha mengeksport sejumlah kereta kebal ringan kepada Filipina. 

Kereta kebal ringan yang diberi nama Harimau itu merupakan usahasama PT Pindad dari Indonesia dan syarikat FNSS dari Turki. 

Penganalisis pertahanan Zaki Salleh berkata, industri pertahanan tempatan dilihat lemah apabila kemampuannya setakat hari ini hanya memabitkan proses pemasangan dan penghasilan komponen yang dibekalkan.

"Komponen utama dan kritikal masih diimport sekalipun jika satu-satu aset itu dibina dalam negara.

"Sebagai contoh bahagian enjin dalam aset-aset laut dan darat. Ia tidak efektif dari segi kos per unit kerana tiada ekonomi skala," katanya kepada MalaysiaNow.

Zaki yang merupakan bekas pengarang majalah Informasi Tempur berkata, Malaysia mempunyai perancangan dan dasar namun tiada perlaksanaan yang berjaya. 

Terdapat usaha untuk memajukan syarikat tempatan namun sesetengah mereka menjadi ejen atau perantara kepada syarikat luar. 

Kerajaan juga sudah berbelanja berbilion ringgit membeli “blue print” untuk aset seperti kenderaan tempur Adnan, kereta kebal Pendekar dan kenderaan perisai Gempita namun pembangunannya secara tempatan tamat apabila kontrak disiapkan.

Pihak industri juga tidak cenderung untuk membina atau membangunkan R&D bagi reka cipta baru apa lagi untuk bersaing dengan pasaran luar.

"End-user seperti Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia lebih percaya kepada kelengkapan yang sudah terbukti dan tidak cenderung mengambil risiko," tambahnya.

Pada 2019 kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan Kertas Putih Pertahanan yang mana ia menyentuh soal pelaburan pertahanan, kapasiti pertahanan dan industri pertahanan negara. 

Sebelum itu, kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai Dasar Pertahanan Negara. 

Namun intervensi yang berubah-ubah mengikut selera kerajaan ini yang membantutkan kesinambungan industri pertahanan, menurut seorang lagi penganalisis pertahanan, Muhammad Fuad Mat Noor. 

"Semasa kita membangunkan kapal ronda generasi baharu (NGPV) dahulu, kita beli segala-galanya, termasuk reka bentuk dan pelan. Apabila kita hendak bangunkan kapal baru, kita terpaksa beli pelan baru. Apa jadi pelan dahulu? Mengapa ia tidak dibangunkan?" katanya.

Fuad merujuk kepada projek membangunkan 27 NGPV kira-kira dua dekad lalu namun hanya enam buah berjaya disiapkan. 

Tambah Fuad yang juga perunding keselamatan kepada beberapa agensi kerajaan berkata, industri pertahanan yang dikawal sepenuhnya oleh kerajaan tidak sepatutnya berdepan masalah itu memandangkan tiada saingan terbuka dalam industri itu. 

Boustead Naval Shipyard (BNS) dan SME Ordnance(SMEO) antara dua syarikat yang diberi monopoli kontrak kerajaan dalam industri tersebut. 

Namun seperti BNS, Fuad berkata SME Ordnance turut berdepan dengan masalah berhubung bekalan peluru kepada end-user seperti Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia. 

Katanya, kemahuan negara dalam aspek pembangunan dan penyelidikan tidak begitu memberangsangkan. 

Pertukaran dasar kerajaan yang berubah-ubah serta usaha pemindahan teknologi (TOT) ibarat melepaskan batuk di tangga antara punca kejumudan industri pertahanan. 

"Kita ada program untuk membangunkan pesawat tanpa pemandu (UAV) pada masa yang sama Turki membangunkan program UAV mereka. 

“Pembangunan itu tentunya memakan masa untuk matang namun end-user mahukan peralatan yang lebih canggih. 

“Akhirnya kita batalkan program itu dan beli yang lain, sedangkan Turki berjaya bangunkan UAV mereka dan menjadi laris di parasan," tambahnya.

UAV buatan Turki yang diberi nama Bayraktar mendapat perhatian dunia apabila ia digunakan secara meluas semasa konflik di Azerbaijan dan perang Rusia dan Ukraine. 

Turki juga sedang melobi Malaysia bagi perolehan UAV Anka. 

UAV tersebut pernah dipamerkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2019.

Beberapa syarikat tempatan juga pernah menghasilkan prototaip pistol dan raifal buatan sendiri. 

Antara model yang pernah dipamerkan ialah Malinov dan Vista Berapi, namun akhirnya produk tersebut tidak dihasilkan. 

"Kita bagus dalam membuat kertas kerja dan tubuh jawatankuasa. Namun kita tiada tekad dan akauntabiliti," tambah Fuad. 

Sementara itu, Zaki berkata, kerajaan dicadang menyiapkan dua buah kapal LCS yang melebihi 50% kemajuan. 

Dengan bantuan pihak pengeluar asal dari Perancis, ia mampu disiapkan dalam jangka masa satu atau dua tahun lagi, manakala baki empat bakal itu wajar dihentikan bagi mengelakkan kerugian. 

"Pada masa sama kena naik taraf sebahagian kapal-kapal NGPV dengan persenjataan terutamanya peluru berpandu. 

“Ini penting kerana kapal-kapal ini bersaiz besar dan boleh untuk rondaan jauh. NGPV walaupun bukan frigate tapi konsep asalnya memang sebagai paltform senjata," tambahnya.

Pilihan lain termasuk membeli kapal perang terpakai untuk keperluan utama untuk tujuan rondaan. 

Kerajaan juga boleh meneroka pembinaan kapal perang lain pada kos yang lebih rendah serta boleh disiapkan dengan cepat. 

"Kapal jenis LMS (kapal misi pesisir) merupakan pilihan terbaik kerana kapal ini sesuai untuk negara yang mempunyai bajet terhad tetapi hendaklah mempunyai sistem persenjataan yang baik. 

“Ia mesti dibina di luar negara," katanya.