- Iklan -
Berita

Malaysia guna dana luar bantu latih kemahiran pelarian Myanmar, kata menteri

Saifuddin Abdullah berkata kerajaan tidak akan menggunakan duit rakyat dalam usaha membantu pelarian itu mendapatkan latihan kemahiran di negara ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Luar Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama
Menteri Luar Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama

Kerajaan menggunakan dana luar bagi menampung kos latihan kemahiran yang akan diberikan kepada pelarian Myanmar khususnya etnik Rohingya, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata kerajaan sama sekali tidak akan menggunakan duit rakyat dalam usaha membantu pelarian itu mendapatkan latihan kemahiran di negara ini.

Menurutnya, negara setakat ini tidak dapat serapkan pelarian Myanmar dalam sektor pekerjaan kerana mereka tidak mempunyai kemahiran.

"Sekarang ini kita ada kekurangan buruh daripada luar, banyak restoran, kilang dan sektor pembinaan kurang pekerja, tetapi mungkin majikan tidak bersedia ambil mereka (pelarian) kerana tidak mempunyai kemahiran asas.

"Oleh demikian, kita rancang program latihan kemahiran kepada mereka tertentu yang ingin bekerja, jadi kita sedang fikir bagaimana dana itu boleh diraih...sebagai menteri luar, saya juga melobi untuk mendapatkan dana daripada negara lain dan penderma antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Forum Pengundi Muda Penentu Masa Hadapan Negara Sempena Hari Belia Parlimen Indera Mahkota 2022, di Kuantan semalam.

Mengulas lanjut, Saifuddin, yang juga ahli Parlimen Indera Mahkota, memaklumkan setakat ini salah satu negara yang telah menyumbang ialah Qatar iaitu sebanyak AS$50 juta (RM222.23 juta) dengan AS$6 juta (RM26.6 juta) telah dibelanjakan untuk hal ehwal kesihatan pelarian berkenaan.

"Saya sebutkan ini supaya rakyat Malaysia tak gusar apabila menteri luar bercakap tentang pelarian di Malaysia, mereka juga mempunyai peluang bekerja dan pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini, berkata rundingan awal bersama gabungan PN menyatakan untuk kekal bertanding di kerusi yang telah dimenangi parti masing-masing.

"Bersatu akan bertanding di satu kawasan Parlimen yang telah dimenangi manakala PAS di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Bersatu dan Gerakan takkan minta kerusi yang PAS menang, kemudian baru kita tengok kerusi tumpuan dan siapa paling sesuai untuk bertanding.

"Bagaimanapun, kami masih lagi melihat formula yang sesuai dan keputusan itu akan dimuktamadkan di peringkat Majlis Tertinggi PN," jelasnya.