- Iklan -
Berita

Jenayahkan jualan, pembekalan produk tembakau, bukan pemilikannya

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata objektif generasi penamat rokok boleh dicapai dengan meletakkan tanggungjawab ke atas peruncit, syarikat, dan korporat bukannya kepada individu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Jika diluluskan, RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 itu akan menjenayahkan penggunaan mana-mana produk tembakau atau produk pengganti tembakau terhadap mereka yang dilahirkan selepas 2007.
Jika diluluskan, RUU Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok 2022 itu akan menjenayahkan penggunaan mana-mana produk tembakau atau produk pengganti tembakau terhadap mereka yang dilahirkan selepas 2007.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial hari ini menggesa supaya rang undang-undang (RUU) kawalan merokok yang sedang digubal memasukkan larangan penjualan atau pembekalan produk tembakau atau vape kepada yang lahir pada 2007 dan ke atas, bukan dengan menjenayahkan pemilikan atau penggunaan oleh individu, menjelang mesyuarat jawatankuasa pilihan khas Parlimen minggu ini.

RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang diusahakan kerajaan ketika ini adalah bertujuan melarang mereka yang lahir pada atau selepas 1 Januari 2007 daripada membeli atau memiliki produk rokok atau vape.

Ia digubal bagi mengelakkan generasi muda daripada mengamalkan tabiat merokok, sekali gus mengurangkan kematian disebabkan penyakit berkait tabiat itu.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Galen Azrul Mohd Khalib berkata objektif generasi penamat rokok (GEG) boleh direalisasikan dengan meletakkan tanggungjawab ke atas peruncit, syarikat dan korporat untuk mematuhi larangan penjualan atau pembekalan produk tersebut kepada golongan tersebut.

"Perundangan itu harus memastikan aktiviti menjual atau membekalkan produk tembakau atau vape kepada mereka yang dilahirkan mulai 1 Januari 2007 menjadi satu kesalahan. Ia tidak sepatutnya menjenayahkan pemilikan atau penggunaan individu," katanya.

"Walaupun kita berusaha sebaik mungkin, pada masa hadapan akan ada orang dalam kumpulan GEG yang merokok dan vape, dan ketagih nikotin. Adakah mereka patut dihukum?"

Beliau berkata Fasal 17 RUU itu dalam bentuknya ketika ini, meletakkan satu kesalahan bagi golongan ini jika mereka menghisap, mengewap atau memiliki sebarang produk tembakau, bahan bagi merokok, produk tembakau gantian atau peranti rokok, di mana ia membuka jalan kepada tuduhan dalam pendakwaan terpilih.

Beliau berkata ia juga boleh menimbulkan stigma dan diskriminasi, selain boleh meminggirkan kumpulan yang memerlukan sokongan dan bantuan.

"Kita mesti menghalang kemungkinan perundangan ini memberi kesan yang tidak setara kepada golongan muda, golongan berpendapatan rendah, dan populasi rentan. Seseorang yang ketagih nikotin, sama ada seorang perokok atau penghisap vape, mempunyai hak untuk dilayan sama rata di bawah undang-undang, dengan belas kasihan, dan maruah," katanya.

"Dengan mengeluarkan Fasal 17, kebimbangan mengenai penguatkuasaan di bawah Bahagian IX dan implikasinya terhadap perokok dan penghisap vape  seperti penggeledahan tanpa waran, rampasan harta, dan akses kepada maklumat peribadi boleh ditumpukan  kepada peruncit, syarikat dan korporat yang menjual, membekal dan mengeluarkan produk tembakau dan vape."

Memetik usaha negara memerangi jenayah penyalahgunaan dadah, beliau berkata tindakan undang-undang sering diambil terhadap penagih.

"60% daripada lebih 69,000 banduan penjara di Malaysia adalah pesalah dadah bawah umur yang telah disabitkan kesalahan kerana menggunakan dan memiliki bahan narkotik seperti ganja," katanya.

"Walaupun tanpa hukuman penjara, Fasal 17 berkemungkinan membuka mudarat besar dengan mengulangi kesilapan yang sama seperti usaha kita memerangi dadah."