- Iklan -
Berita

Pakar aeroangkasa gesa undang-undang diperketat selepas nahas roket China

Renuganth Varatharajoo berkata Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 perlu lebih banyak perincian dan peruntukan bagi memastikan benar-benar berkesan sekiranya insiden sedemikian terjadi lagi.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Roket yang membawa modul China ke stesen angkasa Tiangong dari pusat berlepas Wenchang di selatan China pada 24 Julai. Gambar: AFP
Roket yang membawa modul China ke stesen angkasa Tiangong dari pusat berlepas Wenchang di selatan China pada 24 Julai. Gambar: AFP

Seorang pakar aeroangkasa menggesa penambahbaikan dibuat terhadap undang-undang angkasa lepas bagi mengelakkan kesan buruk sekiranya berlaku lagi insiden seperti nahas hempasan serpihan roket China di beberapa kawasan di Sarawak baru-baru ini.

Renuganth Varatharajoo, seorang profesor di Universiti Putra Malaysia, berkata Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834) yang diwartakan pada 25 Januari lalu, adalah satu langkah yang baik untuk negara.

“Memang bagus kita ada akta sendiri, tetapi kita perlu pertingkat dan perbaiki lagi, dan masukkan lebih banyak peruntukan,” katanya.

"Apa yang penting sekarang ini ialah semua negara yang akan lancarkan (roket) perlu mematuhi syarat-syarat ini, dengan mengandaikan sebaik sahaja ia dilancarkan, ia mungkin berlanggar dengan serpihan itu dan boleh membunuh seseorang."

Roket Long March 5B China, yang meletup pada 24 Julai ketika menghantar modul makmal ke stesen angkasa lepas baru China yang sedang dibina, terhempas di Lautan Hindi pada 30 Julai lalu.

Susulan kejadian itu juga, beberapa objek ditemui di Kampung Nyalau, Bintulu dan Kampung Sepupok Lama, Niah, Miri. 

Bagaimanapun tiada laporan dibuat mengenai kecederaan atau kerosakan harta benda akibat serpihan yang terhempas itu.

Walaupun China berkata pihaknya akan menjejaki semula serpihan roketnya yang terhempas, namun kejadian itu menimbulkan persoalan risiko yang dihadapi penduduk di kawasan daratan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berkata semua objek yang ditemui dihantar untuk dianalisis oleh jabatan kimia dengan bantuan Agensi Angkasa Malaysia.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Renuganth berkata kemungkinan serpihan roket itu jatuh di kawasan bandar adalah rendah kerana 70% daripada Bumi diliputi air.

“Namun ini bukan bermakna tiada kemungkinan ia berlaku. Risikonya sentiasa ada," katanya dan menambah perlanggaran objek di angkasa kini kerap berlaku disebabkan bilangan kenderaan yang dilancarkan ke angkasa lepas semakin meningkat.

Katanya, walaupun Malaysia mempunyai Akta 834, ia hanya menggambarkan tanggungjawab biasa bagi sesebuah negara dalam melaksanakan perjanjian antarabangsa yang digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Adakah Malaysia mempunyai undang-undang untuk menangani insiden sebegini? Ya. Tetapi bolehkah kita tuntut sebarang bayaran bagi kerosakan yang berpunca daripada kapal angkasa? Buat masa ini, kita tidak boleh tuntut,” katanya.

Menurutnya, bagi membolehkan undang-undang angkasa lepas dapat dikuatkuasakan secara berkesan, ia memerlukan peruntukan dan peraturan yang lebih terperinci bagi menangani insiden berbahaya di bawah undang-undang angkasa antarabangsa.

Katanya, walaupun akta angkasa antarabangsa menyediakan garis panduan mengenai pencegahan serpihan roket, namun tiada sistem pengurusan trafik angkasa yang standard dan diselaraskan di peringkat global.

"Sebagai contoh, katakan satu serpihan terhempas di pejabat anda. Apa yang bakal berlaku? Adakah mereka akan bayar pampasan kepada anda? Tidak. Adakah perjanjian antarabangsa ini membantu dalam menangani isu ini? Jawapannya tidak.

"Tiada peruntukan untuk isu ini. Ia tidak menjelaskan perincian seperti itu."

Renuganth berkata dalam tempoh beberapa dekad yang lalu, insiden sedemikian kurang berlaku kerana trafik di angkasa lepas tidak begitu sibuk.

"Sekarang, banyak negara mula melancarkan satelit, jadi trafik semakin sibuk, dan kita dapat lihat insiden mula terjadi.

"Tetapi anda tidak boleh membuat tuntutan mengenainya, anda tidak boleh bawa perkara ini ke mahkamah kerana tiada peruntukan," katanya.

"Inilah punca berlakunya kesukaran, kerana butiran undang-undangnya belum ada."

Beliau berkata Malaysia harus bekerjasama dengan negara lain supaya akta angkasa lepas global dapat diperluaskan dengan memperincikan isu pampasan.

“Ya, kita ada akta sendiri, tetapi adakah akta yang kita ada di sini terpakai dan dipersetujui oleh orang lain?

"Setiap orang mempunyai takrifan sendiri tentang ruang angkasa dan penggunaan ruang angkasa lepas,” katanya. 

"Berdasarkan takrifan tersebut, orang tentukan akta angkasa atau undang-undang angkasa mereka sendiri.

"Perlu ada pemahaman yang lebih baik tentang ruang angkasa. Angkasa adalah wilayah semua orang, ia bukan tanah milik manusia. Dan semua negara perlu bertanggungjawab sepenuhnya sebagai langkah berjaga-jaga."